AMK Malaysia desak pembebasan segera 15 sukarelawan ditahan Israel
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 2 min read

Biro NGO & Sukarelawan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menzahirkan solidariti penuh kepada 15 rakyat Malaysia yang ditahan pada 2 Oktober di zon merah perairan antarabangsa menuju Gaza ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Ketua Biro NGO & Sukarelawan AMK, Mohd Shafiq Iqram Abdullah, menyifatkan penahanan itu sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan satu tamparan terhadap nilai kemanusiaan sejagat kerana tersebut membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang terus menderita akibat sekatan berpanjangan.
"Kami amat bimbang terhadap keselamatan mereka. Para sukarelawan ini bukan penjenayah, sebaliknya insan berhati mulia yang rela menggadai nyawa demi kemanusiaan. Penahanan mereka adalah pencabulan undang-undang antarabangsa," katanya.

AMK menegaskan bahawa kebimbangan ini turut dirasai oleh keluarga tahanan di tanah air, yang menunggu dengan penuh doa dan harapan agar mereka kembali dengan selamat.
Kenyataan itu turut menyatakan keyakinan bahawa kerajaan Malaysia, melalui Wisma Putra, akan terus menggerakkan saluran diplomatik, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta kerangka ASEAN, bagi menuntut pembebasan segera semua tahanan dan memastikan bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak lagi dihalang.
"Malaysia mesti menggerakkan suara serantau agar Asia Tenggara berdiri bersama menuntut pembebasan segera para tahanan, di samping memastikan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak lagi dihalang," jelas kenyataan itu.
Selain itu, AMK menyeru komuniti antarabangsa agar mengambil pendirian tegas, mendesak tahanan flotila dilayan dengan berperikemanusiaan selaras dengan Konvensyen Geneva, dan dibebaskan tanpa syarat.
Dalam masa sama, AMK mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyatakan solidariti melalui doa, solat hajat, kempen kesedaran, atau himpunan aman.
"Misi kemanusiaan bukan satu jenayah, sebaliknya bukti kasih sayang sesama manusia yang wajar dihormati, bukan ditindas," tegas Mohd Shafiq.
AMK Malaysia menegaskan bahawa selagi keadilan belum ditegakkan dan kebebasan belum diperoleh, solidariti terhadap rakyat Palestin dan para sukarelawan flotilla akan terus digema.
Comments