top of page

AMK kutuk insiden polis rogol remaja bawah umur



Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden seorang gadis bawah umur menjadi mangsa rogol seorang anggota polis seperti dilapor media baru-baru ini.


Timbalan Ketua AMK, Muhamad Kamil Abdul Munim berkata kejadian seumpama itu telah mencalar kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan.


"Insiden ini mencalarkan imej PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan mengakibatkan terhakisnya kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasa keselamatan yang seharusnya menjadi tempat paling selamat buat mereka yang menjadi mangsa jenayah yang ditindas dan dianiaya.


"Meskipun kita sedia maklum bahawa siasatan sedang dijalankan di mana pegawai penyiasat yang disyaki telah ditahan, cabaran besar bagi pihak PDRM adalah untuk memastikan kepercayaan awam terhadap institusi PDRM dapat dikembalikan," katanya dalam satu kenyataan.


Susulan isu tersebut, Kamil Munim menuntut agar PDRM memberi jaminan bahawa kejadian serupa tidak akan berulang selain mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang melanggar undang-undang.


AMK juga, katanya menuntut penelitian semula tatacara pengendalian proses siasatan agar lebih telus dan selamat.

"Antaranya dengan mempertimbangkan keperluan untuk menggunakan kamera video semasa proses siasatan dijalankan bagi tujuan pengawasan atau mewajibkan proses mengambil keterangan bagi kes seumpama itu dilaksanakan dalam ruang atau bilik yang dilengkapi kamera litar tertutup," kata beliau yang juga bekas calon Parlimen Padang Rengas.


Sabtu lalu, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membuat laporan selepas mendakwa menjadi mangsa rogol seorang pegawai berpangkat inspektor ketika berada di sebuah balai polis di Alor Setar.


Mangsa sebelumnya datang ke balai berkenaan untuk melaporkan dakwaan kes rogol membabitkan bapa tirinya.


Sementara itu, Kamil Munim dalam kenyataan sama menegaskan komitmen semua pihak dalam melaksana reformasi institusi adalah sangat ditagih.


Ia jelasnya bagi memastikan kepercayaan awam kepada integriti badan penguatkuasaan dapat diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan undang-undang dan keamanan dapat dicapai.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page