AMK, KHIDMAT Madani siap siaga hadapi gelombang banjir Monsun Timur Laut
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menerusi inisiatif KHIDMAT Madani bersiap siaga di seluruh negara berikutan amaran gelombang banjir Monsun Timur Laut yang dijangka menjejaskan beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Kelantan dan Selangor.
Naib Ketua AMK Malaysia yang juga Pengerusi KHIDMAT Madani, Nabil Halimi (gambar) berkata, pihaknya memandang serius situasi banjir semasa dan menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa peka, berjaga-jaga dan membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Menurutnya, jentera KHIDMAT Madani telah mula digerakkan ke lokasi-lokasi terkesan bagi menyelaras tindakan bantuan bersama agensi kerajaan.
Gerak kerja di lapangan, katanya, bukan sahaja tertumpu kepada pemberian bantuan tetapi turut merangkumi usaha memastikan proses pemindahan mangsa serta pengurusan di pusat pemindahan sementara (PPS) berjalan lancar.
"Keutamaan kami saat ini adalah untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin dan bantuan keperluan asas dapat disalurkan segera kepada keluarga yang diuji," tegas beliau dalam satu kenyataan.
AMK turut menyeru rakyat Malaysia agar bersolidariti dengan mangsa, sama ada melalui doa, tenaga sukarelawan atau sumbangan dalam bentuk kewangan dan barangan keperluan.
"Kami menyeru masyarakat Malaysia yang prihatin untuk sama-sama menghulurkan sokongan, sama ada dalam bentuk sumbangan kewangan, barangan keperluan, atau penyertaan sebagai sukarelawan bagi memperkuat usaha bantuan di lapangan," katanya.
AMK Malaysia dan KHIDMAT Madani menegaskan komitmen mereka untuk kekal berada di barisan hadapan, memastikan setiap mangsa menerima perhatian sewajarnya tanpa ada yang terpinggir dalam menghadapi bencana ini.





