top of page

AMK Johor desak dalang serang anak Rafizi dihukum paling tegas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 15
  • 1 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak kepada mantan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang disifatkan sebagai tindakan pengecut serta mencabar prinsip demokrasi negara.


Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad (gambar) berkata, pihaknya memandang serius insiden itu dan mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi membawa pelaku ke muka pengadilan.


"Kenakan tindakan yang paling tegas agar menjadi pengajaran dan amaran kepada mana-mana pihak yang berniat melakukan tindakan serupa," katanya dalam satu kenyataan.


Faezuddin menegaskan perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk bertindak ganas atau mengugut mana-mana pihak sebaliknya perlu diselesaikan melalui perbahasan, hujah dan saluran undang-undang.


Pada 13 Ogos lalu, anak tunggal Rafizi yang berusia 12 tahun diserang dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar penuh di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.


Mangsa dipercayai dicucuk dengan jarum suntikan sebelum suspek melarikan diri.


Serangan itu berlaku beberapa jam selepas isteri Rafizi menerima mesej ugutan melalui WhatsApp yang antara lain berbunyi “diam, andai teruskan AIDS”.


Semalam dalam sidang medianya, Rafizi mendakwa kejadian itu mungkin mempunyai kaitan dengan pendedahan skandal yang bakal dibuat beliau selepas bertemu sekumpulan pemberi maklumat minggu lalu.


Anaknya telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan setakat ini tidak menunjukkan kesan sampingan namun perlu menjalani ujian darah berkala selama enam bulan bagi memantau kemungkinan wujud jangkitan atau bahan berbahaya.


Polis kini giat memburu dua suspek berkenaan dengan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page