
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor biar pun tidak diberi kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke 15 lalu namun masih berpeluang menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 6 bulan dari sekarang.
Menurut Ketua AMK Selangor Muhammad Izuan Ahmad Kasim, perbincangan beliau bersama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor menyetujui bahawa AMK akan diberi tempat bertanding kerusi Dewan Negeri.
Bagaimanapun, katanya, AMK perlulah melakukan gerak kerja bertemu rakyat sekerap mungkin sebelum dipertimbangkan menjadi calon.
"Ada yang tanya mengapa tidak ada AMK bertanding kerusi parlimen? Pengerusi kata, untuk parlimen biar big gun bertanding. InshaAllah untuk negeri nanti ada AMK bertanding.
"Tetapi bagi anak muda jangan tunggu dapat kerusi, buat kerja dulu sebab apa yang kita buat, kita bawa lambang parti kita," katanya dalam konvensyen pilihan raya KEADILAN Selangor.
Tegas Izuan, biar pun PH telah memerintah Selangor sejak 2008 dan kini PH sebahagian Kerajaan Perpaduan dan memerintah Malaysia, tetapi gerak kerja AMK harus seperti pembangkang yang selalu turun padang dan tidak menunggu rakyat mengadu masalah mereka di pejabat.
"Misi yang penting, kita lihat anak muda atau pengundi baru lebih 50% tidak memihak kepada kita, khususnya PH. Selalunya bila cerita tentang anak muda bebannya terletak kepada AMK.
"Saya maklum AMK perlu kerja lebih kuat.
"Biar pun kita kerajaan tetapi cara gerak kerja harus seperti pembangkang. Kita tidak perlu menunggu di pejabat. Pesan saya kepada AMK di bawah turunlah, lakukan kerja. Saya percaya kepimpinan negeri dan saya sendiri membantu untuk buat jelajah," katanya lagi.
Dalam ucapannya Izuan juga meminta pemimpin KEADILAN senior memberi lebih banyak ruang kepada anak muda menyumbangkan bakat dan tenaga bagi melakukan gerak kerja parti di peringkat cabang mahu pun ranting.