AMK aktifkan Misi Banjir Sabah, KHIDMAT Malaysia digembleng bantu mangsa
- Suara Keadilan
- Sep 16
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia melalui KHIDMAT Malaysia menggerakkan Misi Banjir Sabah bagi membantu mangsa yang terjejas akibat banjir di beberapa daerah termasuk Penampang, Papar dan Beaufort.
Naib Ketua AMK Malaysia merangkap Pengerusi KHIDMAT Malaysia, Nabil Halimi berkata misi tersebut turut melantik Saudara Hilmie Milus sebagai Koordinator KHIDMAT Malaysia bagi operasi Misi Banjir Sabah.
"Pasukan sukarelawan KHIDMAT Malaysia telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja awal termasuk pemantauan, penyaluran bantuan asas, dan sokongan logistik bersama agensi-agensi tempatan," kata Nabil dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, fokus utama misi adalah memastikan keselamatan penduduk, menyediakan makanan, minuman bersih, selimut, pakaian serta kit kecemasan selain memberi sokongan moral kepada keluarga yang terkesan.
Beliau menambah, AMK Malaysia dan KHIDMAT Malaysia kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, agensi penyelamat dan organisasi kemanusiaan lain bagi memastikan koordinasi lebih baik dalam pengurusan bencana.

"Kami menyeru masyarakat Malaysia yang prihatin untuk sama-sama menghulurkan sokongan, sama ada dalam bentuk sumbangan kewangan, barangan keperluan, atau penyertaan sebagai sukarelawan bagi memperkuat usaha bantuan di lapangan," ujar Nabil.
Maklumat lanjut mengenai cara menyumbang dan menyertai misi boleh diperoleh melalui laman rasmi media sosial KHIDMAT Malaysia.
"AMK Malaysia dan KHIDMAT Malaysia akan terus komited untuk berada di barisan hadapan dalam usaha kemanusiaan, memastikan tiada mangsa yang terpinggir ketika berdepan dugaan bencana alam," kata beliau lagi.
Untuk rekod, setakat pukul 8 pagi tadi seramai 2,468 orang daripada 656 keluarga telah ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.
Penampang merekodkan jumlah tertinggi, 958 orang daripada 239 keluarga. Diikuti Membakut, 611 Putatan 456, Beaufort 273, dan Papar 170 orang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan 96 kampung terjejas banjir kali ini.
Comments