Amirudin seru anggota parti erat saf perjuangan
- Suara Keadilan

- May 17
- 1 min read

Oleh: Mohd Azuan Ab Rahman
Semua anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diseru untuk memperkukuh perpaduan dan memperkemas saf kepimpinan menjelang pemilihan parti yang dijadual berlangsung minggu hadapan.
Calon Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa kekuatan parti terletak pada kesatuan anggota dalam mendukung agenda reformasi yang menjadi teras perjuangan KEADILAN sejak awal penubuhannya.
"Kurang seminggu menuju pemilihan, inilah masanya kita perkuat saf perjuangan, menolak politik benci dan perpecahan, dan terus mara demi memastikan KEADILAN kekal sebagai teras reformasi rakyat.
"Ayuh kita laksanakan tanggungjawab dan pilih kepimpinan terbaik untuk bersama Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Amirudin sebelum ini mengumumkan untuk mempertahankan jawatan naib presiden dengan membawa tema kempen ‘Reformasi Cita Bangsa’.
Tema itu dipilih selari dengan hasrat memperkukuh kepimpinan dan membina pasukan yang berdaya saing serta berwibawa.
Beliau turut menekankan komitmennya untuk memastikan KEADILAN menjadi tulang belakang kepada pentadbiran negara yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya dalam menghadapi penggal kedua kerajaan perpaduan.
Proses pemilihan akan dijalankan pada 23 Mei ini bermula 8 pagi hingga 5 petang oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.
Manakala bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal dilaksanakan di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang dan Penview Convention Centre, Kuching.









Comments