AMANAH utamakan politik nilai, tumpu pembinaan masyarakat Islam
- Suara Keadilan

- Feb 2
- 2 min read

Tuduhan musuh politik kononnya parti AMANAH membawa fitnah terhadap agama dan dianggap berbahaya sama sekali mengarut.
Menurut Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN), tuduhan berkenaan amat tidak adil sedangkan parti itu mengutamakan politik nilai.
Kata Ketua AWAN, Datuk Aiman Athirah Sabu, politik nilai adalah praktik memperkukuhkan prinsip Islam Rahmatan Lil ‘Alamin ke atas seluruh rakyat Malaysia.
"AMANAH berpegang teguh kepada politik nilai, iaitu politik yang berlandaskan prinsip Islam yang adil, beretika, dan inklusif. Sebagai sebuah parti yang menjunjung Islam sebagai rahmat untuk semua (Rahmatan Lil ‘Alamin), AMANAH menolak sebarang bentuk politik fitnah, ekstremisme, atau retorik yang memecah-belahkan masyarakat.
"Dakwaan bahawa AMANAH membahayakan agama hanyalah tindakan desprate lawan untuk memesongkan pandangan rakyat daripada keperluan sebenar politik yang berakhlaq dan berintegriti," katanya dalam kenyataan.
AMANAH juga, kata beliau, berjuang demi rakyat dan bukannya kuasa. Iaitu mengutamakan politik khidmat, politik yang berasaskan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar permainan kuasa dan slogan kosong penuh retorik.

"Tuduhan bahawa AMANAH menjadi alat kepada mana-mana pihak adalah tidak benar kerana setiap dasar, program dan keputusan yang dibuat adalah mengambil kira perlembagaan persekutuan, rukun negara dan kepentingan rakyat dan negara.
"Sebaliknya, mereka yang menuduh AMANAH sebagai ancaman kepada agama perlu bertanya kepada diri sendiri – adakah mereka benar-benar memahami asas bernegara, menyanjungi perpaduan dalam kepelbagaian dan mengutamakan rakyat dan negara, atau masih asyik bermain dengan sentimen perkauman dan keagamaan agar terus relevan, sekaligus mengekalkan kuasa," katanya.
Parti itu juga, kata Ketua AWN, mengamalkan politik yang berperanan meningkatkan persaudaraan dan kesedaran rakyat terhadap hak-hak mereka serta prinsip keadilan dalam Islam.
"AWAN percaya bahawa rakyat harus dididik dengan ilmu, fakta, citra dan cinta yang benar demi watan, bukan sekadar dimomokkan dengan naratif kebencian dan ketakutan yang tidak berasas.
"AMANAH akan terus mendidik rakyat agar memahami politik secara matang dan tidak terpengaruh dengan propaganda yang hanya bertujuan mengekalkan relevansi dan kuasa pihak yang senantiasa menabur kebencian dan permusuhan," katanya.
Tegas AWAN, politik di Malaysia perlulah bergerak ke hadapan berlandaskan politik nilai, politik khidmat, dan politik mendidik.
AMANAH, ajur kenyataan itu akan terus memperjuangkan politik yang berasaskan keadilan, kebajikan, dan ilmu, bukannya politik fitnah dan sentimen sempit yang memecah-belahkan masyarakat.









Comments