AMANAH tolak cadangan Pilihan Raya Umum ke 16 awal


Parti Amanah Negara (Amanah) menolak gesaan Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar Pilihan Raya Umum Ke-16 diadakan lebih awal.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini perlu ditumpukan kepada agenda rakyat, terutamanya pemulihan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Tambahnya, penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang berbaki sehingga penghujung 2027 merupakan tempoh kritikal bagi memastikan seluruh agenda dan dasar yang dirancang untuk dapat dilaksanakan secara berkesan.
"Bagi AMANAH, kita kekal dengan pendirian untuk menamatkan penggal pentadbiran kerajaan perpaduan dan ini menjadi tempoh penting untuk kerajaan selesaikan isu-isu utama rakyat.
"Jadi, saya tidak fikir kerajaan hari ini bersedia untuk mengorbankan semua itu hanya kerana terdesak dengan Umno yang minta supaya segera mengadakan pilihanraya," katanya dipetik laporan media.
Dr Mujahid ditemui pemberita pada Program Penerangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) #Stand4RCITH di Johor Bahru pada Ahad.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melayan sebarang desakan supaya PRU diadakan lebih awal.
Sementara itu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dipetik laporan Sinar menyifatkan desakan Ahmad Zahid supaya PRU disegerakan kerana didakwa mahu cepat menjadi Perdana Menteri.
Timbalan Perdana Menteri itu jelasnya berpandangan bahawa UMNO sudah berada di puncak kekuatan sehingga yakin boleh membentuk kerajaan sendiri.




Comments