AMANAH sokong KBS tambahbaik SOP penganjuran konsert muzik, tarian
- Suara Keadilan
- Apr 24
- 1 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik langkah diumumkan Kementerian Belia dan Sukan untuk menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) penganjuran konsert muzik dan tarian.
Menurut Pengerusi Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim, pengumuman lima garis panduan baharu oleh Menteri Belia dan Sukan berkaitan penganjuran konsert muzik dan tarian itu merupakan langkah proaktif dan bertanggungjawab dalam memastikan industri hiburan di Malaysia berkembang dalam kerangka keselamatan, nilai dan integriti yang sewajarnya.
"Pendekatan ini wajar dipuji kerana memberi penekanan kepada usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia - satu isu yang telah lama menjejaskan kesejahteraan sosial dan masa depan generasi muda negara.

"Melalui garis panduan yang lebih ketat dan tersusun, penganjur kini dipandu dengan lebih jelas untuk memastikan acara yang dianjurkan tidak menjadi ruang kepada aktiviti negatif, sebaliknya menjadi wadah memperkasa bakat dan ekspresi seni secara sihat dan bermaruah
"Dalam masa yang sama, kami berharap agar pelaksanaan SOP ini turut mengambil kira pandangan para penggiat seni dan budaya agar keseimbangan dapat dicapai antara kawal selia dan kebebasan berkarya," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Wan Anwar, Malaysia memiliki khazanah seni dan budaya yang amat bernilai oleh itu sebarang dasar berkaitan industri kreatif perlu dirangka secara sensitif terhadap kepelbagaian budaya serta keperluan ruang ekspresi yang inklusif dan progresif.
"Jadi langkah KBS ini sekiranya dilaksanakan secara telus dan konsisten, mampu menjadi model rujukan kepada negara serantau dalam menstruktur semula ekosistem hiburan yang lebih selamat, beretika dan sejajar dengan aspirasi belia Malaysia," katanya lagi.
Comments