AMANAH serah memorandum mahu AS hukum keganasan Israel serang Doha
- Suara Keadilan

- Sep 18
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Biro Antarabangsa AMANAH hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur sebagai membantah sikap berdiam diri Washington terhadap kekejaman Israel, khususnya serangan terbaharu di Doha, Qatar.
Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, AS sepatutnya menegur atau memberi kecaman yang hebat atas kezaliman Israel di Gaza dan Qatar.
''Ini kerana Qatar negara yang menjadi timbang tara antara Hamas dan Israel. Kalau mereka dipanggil untuk rundingan atas desakan Presiden (Donald Trump), kenapa mereka dibom dan dibunuh?
''Seterusnya kita juga mendesak AS agar sekurang-kurangnya mengadakan satu sekatan seperti yang diadakan ke atas mana-mana negara yang melanggar kedaulatan negara lain.
''Ini pun tidak pernah berlaku dan sudah tiba masanya mereka memulakan tindakan sedemikian,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menghantar memorandum itu di Kedutaan AS, hari ini.
Raja Kamarul berkata, baru-baru ini negara Arab dan Islam telah berhimpun di Doha, Qatar.
Dalam pertemuan itu kata Raja Kamarul, puluhan negara Islam telah membentuk satu pakatan ketenteraan dengan kesepakatan bahawa sebarang serangan terhadap mana-mana negara Islam akan disambut dengan bantahan dan tindak balas.
''Jika AS tidak mengambil tindakan untuk mengecam Israel atau mengadakan sekatan, kita akan membuat satu bantahan dan gesaan kepada Sekretariat ASEAN melalui Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar untuk membatalkan pelawaan Presiden Trump yang dijadual datang ke ibu negara pada 26 hingga 28 Oktober depan.
''Kalau dalam masa seminggu dari sekarang tiada sebarang tindak balas, mungkin (kita adakan) tindakan susulan kita untuk meminta Sekretariat ASEAN melalui Kerajaan Malaysia menarik balik pelawaan terhadap Presiden Trump,'' tegas beliau lagi.









Comments