AMANAH Selangor buat persiapan awal hadapi PRU 16


Sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 akan datang, AMANAH Selangor melancarkan jentera pilihanraya negeri semalam bagi memperkemas gerak kerja parti secara bersepadu di seluruh Selangor.
AMANAH Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, gerak kerja itu digerakkan dengan tekad untuk memastikan parti berkenaan menjadi penyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU yang bakal tiba.
"Tekad yang bulat dan jitu daripada Biro Pilihan Raya AMANAH Selangor, dengan dukungan seluruh pimpinan negeri serta ahli akar umbi, menjadikan PRU akan datang sebagai medan untuk menjulang suara rakyat.
"Suara rakyat Selangor menjadi teras gerak kerja AMANAH Selangor. AMANAH Selangor bersedia bersama rakyat, membawa suara rakyat.
"Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke seluruh alam pula akan diterjemahkan sebagai asas dalam menyantuni setiap rakyat yang bernaung di bawah AMANAH dan PH," menurut kenyataan itu.
Majlis pelancaran yang diadakan di Subang Jaya itu dirasmikan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa diiringi Pengerusi AMANAH Selangor, Datuk Ir Izham Hashim sebagai simbolik bermulanya gerak kerja secara bersepadu melibatkan jentera AMANAH di pelbagai peringkat.




Comments