Albert Tei celaru fikiran, mengaku rasuah di media, nafi di mahkamah
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Serangan ahli perniagaan terpalit isu rasuah, Albert Tei yang terus menerus menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu membanteras rasuah hanya menunjukkan keterdesakkan beliau mengalih perhatian daripada percanggahan dan kepincangan dirinya sendiri.
Hal itu ditegaskan oleh Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN, Danish Hairudin (gambar).
Beliau berkata, ahli perniagaan itu tidak boleh menyembunyikan hakikat sebenar di hadapan media bahawa beliau didakwa telah mengaku memberikan rasuah dengan penuh rasa bangga seolah-olah mahu dipuji sebagai wira. Namun katanya, di mahkamah Albert Tei berbolak balik mengaku seolah olah tidak melakukan apa apa kesalahan.
"Tetapi di hadapan mahkamah, tiba-tiba beliau mengaku tidak bersalah.
"Persoalan paling mudah yang rakyat tanyakan ialah adakah beliau hilang ingatan, hilang prinsip, atau hilang keberanian apabila berdepan hakim sebenar?" katanya dalam hantaran di Facebook.
Danish berkata tindakan Albert semakin hari semakin jelas menunjukkan sifat pelakon kelas ketiga yang selesa menjaja cerita di media tetapi kecut bila berdepan undang-undang.
"Pengakuan (beri rasuah) di luar mahkamah tetapi penafian di dalam mahkamah hanya menunjukkan satu perkara iaitu kata-kata beliau tidak boleh dipercayai dan integriti beliau berada pada tahap paling rendah.
"Seorang pemberi maklumat yang tulen tidak (boleh) berubah pendirian mengikut siapa yang memegang mikrofon," ujarnya.
Kata beliau selepas mencipta kecelaruan sendiri, Albert cuba menuduh Perdana Menteri pula kononnya tidak telus atau cuba menutup sesuatu.
"Tindakan ini adalah cara lama 'mahafiraun' bila terperangkap, cari kambing hitam dengan sasaran paling mudah, mengaitkan dengan Perdana Menteri yang tegas melawan rasuah," katanya.
Jelas beliau cara sedemikian bukan sahaja dangkal malah mencerminkan kecelaruan logik yang amat ketara.
"Seseorang yang tidak konsisten dalam kenyataan peribadinya sendiri cuba mengajar negara tentang integriti? Saya ingin mengingatkan beliau bahawa negara ini mempunyai sistem perundangan, bukan pentas drama.
"Kepada Albert Tei, jika benar, kekallah benar di media dan di mahkamah. Jika tidak, berhentilah memperbodohkan rakyat dengan lakonan yang semakin hambar," bidasnya lagi.
Untuk rekod, Albert Tei pada 5 Dis lalu didakwa memberi rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Sebelum itu beliau mendakwa kononnya diarah oleh pegawai Perdana Menteri untuk merakam ahli politik Sabah yang menerima rasuah dalam isu mendapatkan lesen penerokaan mineral di negeri itu.





