
Kelewatan Malaysia mendapatkan bekalan vaksin Covid 19 yang menyebabkan kes harian melambung, dan meningkatnya kematian konon disebabkan kelewatan prosedur kelulusan vaksin tidak boleh diterima.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan mengapakah negara lain boleh menempah awal vaksin sedangkan Malaysia menggunakan proses biasa dalam menghadapi situasi pandemik yang mendaruratkan.
Menurut beliau, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menempah awal kerana berbilion ringgit bajet telah diluluskan sejak 2020 lagi.
"Kewangan tak ada masalah. Tahun 2020 kita luluskan RM7.1 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tahun 2021 KKM dapat lagi RM6.1 bilion.
"Kita tempah 79.9 juta dos bersamaan RM39 juta.
"Soalnya perolehan, seperti disebut YB Menteri. Satu ketika kita dipersimpangan. Ujian klinikal keberkesanan vaksin belum lagi dihasilkan. Pada masa sama kita perlu segerakan proses vaksinasi. Pada waktu itu kita ambil sikap 'tunggu'.
"Namun ketika persaingan global yang sengit untuk dapatkan bekalan vaksin, fokus kita seharusnya kepada akses (bekalan) selain daripada harga
"Saya beri contoh, misalnya ada negara lain yang cepat program vaksinasi kerana mereka buat dulu procurement commitment. Ujian klinikal satu bab, tetapi buat procurement commitment satu hal. Aku 'cop' nak yang ini," katanya dalam ucapan selepas sesi taklimat vaksinasi oleh Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin, pagi tadi.
Menurut Saifuddin lagi, pertimbangan negara lain ketika itu adalah penghantaran seawal mungkin. Ujian klinikal dikemudiankan kerana persaingan 'merebut vaksin' sangat sengit.
"Kita ini negara pengguna, bukan negara pengeluar. Penyakit sedang melanda, negara lain buat procurement commitment nak dapat awal sedangkan mereka tetap mengambil kira ujian klinikal. Kita terlepas yang itu. Tak cop dulu.
"Kemudian ada satu lagi badan regulator NPRA (National Pharmaceutical Regulatory Agency) untuk luluskan vaksin. Ketika kita ada (sangkut di) NPRA, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura mereka telah approve (vaksin) pfizer seawal Disember tahun lalu.
"Kita, saya baca laporan awal NPRA kata, kita kena ambil antara 100 - 120 hari (lulus vaksin). Dunia lain dan lulus kita tunggu dulu. NPRA beri kelulusan bersyarat pada Januari 2021. Tetapi ketika kita baru nak masuk perjanjian, Singapura menjadi negara Asia pertama dapat bekalan vaksin. Kita lambat," sinisnya.
Tambah Saifuddin lagi, kerajaan Perikatan Nasional bersalah kerana lalai dalam menjalankan tugas mendapakan vaksin awal sehingga sistem kesihatan Malaysia hampir lumpuh dan tidak mampu menampung lambakan pesakit Covid sebagaimana hari ini.
"Ketika persaingan sengit untuk mendapat bekalan dan kita tak ada kuasa tawar menawar yang kuat, ketika negara lain buat procurement commitment awal dan mengakui ketibaan awal penting untuk menyelamatkan nyawa, kita pula kata tunggu," katanya lagi.