top of page

Aktiviti penggubahan wang haram dalam perniagaan dikekang - KPDN



Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah bersungguh sungguh mengekang pelbagai aktiviti haram dalam perniagaan yang sah, termasuk aktiviti pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 pada sepanjang 2023 lalu.


Menurut Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam, modus operandi yang sering digunakan oleh peniaga bagi melakukan aktiviti penggubahan wang haram adalah melalui beberapa kaedah seperti secara langsung, penstrukturan dan penghantaran wang tanpa melalui sistem perbankan.


"Pertamanya menerusi secara langsung, iaitu memasukkan hasil haram ke dalam akaun perniagaan atau individu yang dicampur aduk dengan hasil perniagaan sah.


"Kedua, secara penstrukturan iaitu dengan memasukkan ke dalam akaun perniagaan-perniagaan atau individu lain, mewujudkan shell company, membeli aset atau membuat pelaburan, membayar pinjaman, insuran dan lain-lain.


"Ketiganya menerusi ‘hawala’ iaitu sistem penghantaran wang tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan berlesen yang melibatkan rentas sempadan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Azman, sepanjang tahun lalu Bahagian Penguat Kuasa KPDN telah menjalankan beberapa kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam usaha pencegahan jenayah kewangan berkenaan. Kerjasama tersebut termasuklah perkongsian maklumat risikan, latihan dan operasi.


Salah satunya melalui Ops Reward, operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti skim piramid melibatkan Bahagian Penguat Kuasa KPDN dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).


Operasi itu, katanya, turut dibantu oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman dan CyberSecurity Malaysia (CSM) di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.


"Dalam Ops Tiris pula operasi dimulakan pada 1 Mac hingga 31 Disember 2023 sebagai usaha untuk membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang telah menyebabkan kerugian kepada pihak Kerajaan dan memastikan bekalan minyak diesel bersubsidi sampai kepada pihak yang layak.


"Operasi ini melibatkan banyak agensi penguatkuasaan lain termasuklah PDRM, APMM, ATM, LHDN, NFCC dan lain-lain," ujarnya.


KPDN juga, kata Azman, melakukan Ops Pharma oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) kerana terdapat syarikat disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Racun 1952 dan Akta Cap Dagangan 2019.


"Sepanjang tahun 2023, sebanyak RM1,715,053 nilai kompaun telah ditawarkan dan dijelaskan manakala sebanyak RM137,517.69 nilai harta alih telah dilucuthakan dan dijadikan hasil Kerajaan Malaysia.


"Oleh demikian, sebanyak RM1,852,570.69 telah berjaya dipulihkan untuk dijadikan hasil Kerajaan Malaysia daripada kes yang telah dikenakan tindakan pelucuthakan tanpa pendakwaan dan menerusi pengkompaunan.


"Jumlah ini akan meningkat selepas beberapa lagi kes yang sedang dalam siasatan dan pendakwaan di mahkamah selesai," katanya.


Tambah Azman, bagi tahun 2023, sejumlah RM21,217,979.11 nilai pembekuan telah dibuat melibatkan harta alih dalam institusi kewangan.


Tindakan penyitaan dibuat dengan sejumlah RM1,043,601.77 harta alih dalam institusi kewangan, harta tak alih dengan nilai RM2,607,181, dan wang tunai sebanyak RM84,964, menjadikan nilai penyitaan keseluruhan sebanyak RM3,735,746.77.


"Secara keseluruhan, berdasarkan statistik kes bermula tahun 2016 hingga 2023 sejumlah RM56,628,198.30 harta berjaya dilucuthakkan, RM2,419,053 kompaun dan RM12,000,000 denda telah dikutip dan dikenakan.


"Oleh yang demikian, jumlah keseluruhan hasil Kerajaan menerusi penguatkuasaan Akta 613 oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak RM71,047,251.30," katanya.


Manakala cabaran dalam menguatkuasakan pencegahan pengubahan wang haram pula termasuklah penjenayah penggunaan transaksi aktiviti haram secara tunai dan tidak melalui sistem perbankan, atau menggunakan mule account.


Katanya, penglibatan badan profesional seperti akauntan dan setiausaha syarikat sebagai individu atau organisasi yang menyediakan perkhidmatan profesional yang membantu melakukan aktiviti pengubahan wang haram turut menjadi cabaran siasatan.

"Oleh yang demikian, tindakan berterusan akan dilaksanakan oleh Seksyen Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Bahagian Penguat kuasa KPDN untuk memperkasakan penguatkuasaan Akta 613 dan memperolehi kembali hasil haram yang diperolehi di bawah undang-undang sedia ada bagi tujuan dijadikan hasil Kerajaan.


"Bahagian ini akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan termasuklah kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara, lain bagi tujuan perkongsian latihan, maklumat risikan dan operasi. KPDN jua selaku agensi penguatkuasaan yang menganggotai Kumpulan Kerja Jawatankuasa Penyelaras Pencegahan Pengubahan Wang Haram Kebangsaan (NCC)," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page