
Oleh: Akmal Manaf
Cadangan kerajaan menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dilihat sebagai langkah untuk meningkatkan taraf hidup golongan B40 terutama orang Melayu bandar pemilik rumah pangsa berusia, ke arah berkehidupan lebih selesa dan bermaruah.
Namun hal itu diberi persepsi negatif oleh pembangkang PN yang kononnya memperjuangkan hak Melayu dengan mendakwa nilai ambang persetujuan keseluruhan pemilik yang diturunkan ke tahap 75% - 80% bakal menyebabkan berlakunya perampasan hak pemilik yang tidak setuju.
Malah pembangkang mentohmah kononnya akta baharu itu merupakan cara halus untuk mengusir orang Melayu dari bandar dengan membina residensi baharu yang tidak mampu dibeli oleh mereka.
Bagi Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, tuduhan bahawa penggubalan akta itu akan mengusir orang Melayu merupakan fakta yang songsang dan terpesong.
Kata Setiausaha Politik Presiden KEADILAN itu, sesi libat urus berkenaan akta itu bukan dibuat pada era Kerajaan Perpaduan tetapi telah dilakukan sejak 2012 dan pernah disokong oleh pembangkang PN semasa mereka memerintah pada 2020 - 2022 lalu.
"Tuduhan nak halau orang Melayu merupakan fakta songsang. Sebenarnya Akta PSB ini meningkatkan taraf hidup orang Melayu.
"Daripada bangunan tidak selamat, uzur dan usang kepada bangunan yang lebih inklusif serta moden.
"Ia (contoh mudah) sebagaimana pembangunan semula Razak Mansion dan Kerinchi Residensi (di Kuala Lumpur) daripada satu atau dua bilik, kepada tiga bilik.
"Juga terdapat rumah kedai, lot pasar dan surau yang lebih besar," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pandangannya terhadap kesan sekiranya akta itu tidak wujud.
Untuk rekod, sebelum ini tanpa Akta PSB pemilik rumah pangsa usang mengalami nasib buruk apabila terdapat kes pemaju menjanjikan pelbagai kemudahan tetapi selepas persetujuan diberi pemilik tidak mendapat kesemua yang dijanjikan kerana tiada undang undang mengawalnya.
Begitu juga, terdapat kes Kerajaan Negeri secara paksa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 apabila segelintir penduduk berdegil mempertahankan hak mereka.
Penduduk tidak diberi harga pampasan yang setimpal apabila berlaku pengambilan paksa, dan nilainya dikira pada harga 'bangunan usang'.
Comments