Akta Keselamatan Dalam Talian sudah sedia dikuat kuasa – Azalina
- Suara Keadilan

- Jun 17
- 1 min read

Usaha Kerajaan MADANI untuk melindungi rakyat daripada ancaman dalam talian semakin hampir direalisasikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 sudah diluluskan sepenuhnya di Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Akta berkenaan telah diwartakan dan kini hanya menunggu tarikh penguatkuasaan rasmi yang akan ditandatangani oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
"Sebaik sahaja Menteri Komunikasi menandatangani perintah penguatkuasaan, akta ini akan mula berkuat kuasa dan membolehkan kerajaan bertindak tegas menurunkan kandungan dalam talian yang melanggar undang-undang," katanya dipetik.
Azalina berkata demikian semasa Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan pelancaran Akademi Perundangan Negara (APN) di Putrajaya pada Isnin.
Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 meletakkan tanggungjawab yang lebih besar ke atas penyedia platform digital melalui prinsip tanggungjawab penjagaan. Ia akan memastikan mereka lebih telus dan bertanggungjawab dalam melindungi pengguna.
Ianya merupakan satu lagi manifestasi kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan keselamatan rakyat selari dengan aspirasi negara untuk menjadi ekonomi digital yang maju dan beretika.
Sementara itu tambah Azalina, selepas penguatkuasaan akta itu, sebuah Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian akan ditubuhkan untuk mentakrif dan menyelaraskan bentuk bahaya dalam talian termasuk penipuan digital, penyebaran berita palsu, gangguan siber dan eksploitasi kanak-kanak.
"Walaupun fokus akta ini adalah kepada platform digital, perlindungan terhadap golongan rentan seperti kanak-kanak tetap menjadi keutamaan dan akan dilihat melalui kerangka Akta Kanak-Kanak 2001," jelasnya.









Comments