top of page

Akta FINAS dipinda pastikan rantaian industri perfileman tepati era digital

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 minutes ago
  • 2 min read
ree

Oleh: Akmal Manaf


Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal mengalami perubahan paling besar sejak diperkenalkan pada tahun 1981 apabila Kerajaan MADANI merancang pindaan bagi memastikan seluruh rantaian industri perfileman bermula daripada penerbitan, pengedaran hingga pameran menjadi lebih tersusun sekaligus menepati era digital.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, di bawah Akta FINAS atau dikenali sebagai Akta 244, terdapat peruntukan yang berkaitan penubuhan urusan pentadbiran, pengurusan kewangan, pelesenan, penguatkuasaan dan undang-undang bagi aktiviti industri perfileman di negara ini.


"Kerangka pelesenan dan penguatkuasaan di bawah Akta 244 adalah melibatkan aktiviti seperti pengeluaran filem, segala aktiviti yang berhubung dengan pengeluar, atau memproses filem atau merekod atau menyalin pita video untuk dilihat oleh orang ramai atau mana-mana golongan masyarakat.


"Kedua, pengedaran filem atau 'distribution' yang termasuk menyewa dan meminjamkan filem untuk keuntungan atau selainnya, mengimport dan mengedarkan filem-filem yang dikeluarkan di luar negeri dan mengedarkan filem yang dikeluarkan di dalam negeri.


"Ketiga adalah tentang pameran filem atau 'exhibition', tayangan filem untuk dilihat oleh orang ramai atau mana-mana golongan masyarakat. Sejak dikuatkuasakan pada 1 Mei 1981, Akta 244 telah dipinda sebanyak dua kali iaitu pada 15 September 1984 dan 1 April 2013," katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.


Menurut Fahmi lagi, secara amnya industri perfileman negara kini berada pada fasa transisi yang signifikan dan sedang melalui perubahan yang pesat selari dengan perkembangan teknologi baharu.


Justeru ujarnya, keadaan tersebut menuntut penyelarasan semula kerangka perundangan agar ianya kekal relevan dan progresif.


"Semakan semula dan cadangan pindaan kepada Akta 244 adalah bertujuan antara lain supaya kandungan peruntukannya selari dengan inovasi teknologi dalam industri perfileman masa kini dengan mengambil kira kesannya kepada aktiviti-aktiviti utama yang dikawal selia FINAS serta membentuk kawal selia yang lebih menyeluruh dan memastikan tahap pematuhan tinggi oleh penggiat industri perfileman.


"Melalui pindaan kepada Akta 244, peraturan dan perundangan subsidiari di bawah akta ini turut akan dipinda bagi memastikan keselarasan dasar serta pelaksanaannya dapat menyokong hala tuju dan visi FINAS sebagai peneraju industri perfileman negara serta pemangkin kepada pembangunan kandungan kreatif tempatan," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page