Akhlak Presiden Pas: Pelbagai istilah boleh ulas CSA, mengapa guna 'Dajjal'


Presiden Pas, Hj Hadi Awang keterlaluan apabila menyamakan perjanjian persefahaman berkaitan peruntukan Ahli Parlimen menerusi Perjanjian Persefahaman Bekalan dan Keyakinan (CSA) dengan perumpamaan 'dajjal' yang datang ke dunia membawa konotasi kejahatan.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN, Ustaz Amidi Abdul Manan berkata, kegagalan Hj Hadi memahami hasrat dalam menandatangani CSA adalah suatu yang amat dikesalkan, namun ianya bukan sesuatu yang pelik.
Katanya, Haji Hadi pernah mengulas beberapa isu dengan kefahaman beliau sendiri walaupun tersasar jauh daripada keadaan sebenar.
"Dalam isu CSA ini, banyak pendekatan yang boleh diambil dalam mengulas tetapi beliau mengambil perkataan atau istilah yang paling keji iaitu 'dajjal'.
"Dajjal adalah satu konsep kejahatan yang melampau beserta kezaliman di luar batasan.
"Menyamakan perjanjian dan persefahaman bagi peruntukan CSA (dengan dajal) adalah di luar kewarasan akal normal, namun itulah akhlak sebenar Presiden Pas," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ustaz Amidi turut mempersoalkan kewajaran gelaran 'dajjal' itu menyangkut ketua kerajaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu CSA ditandatangani.
Katanya, Datuk Seri Anwar terlebih dahulu mengajak semua pihak mengadakan perbincangan dan mencapai kata sepakat sebelum peruntukan menerusi CSA disalurkan kepada Ahli Parlimen yang bersetuju dengan pendekatan berkenaan.
"Bukankah perkara yang sama dilakukan ketika Datuk Seri Ismail Sabri menjadi PM bersama Pas menjadi anggota Kabinet?
"Maka adakah Timbalan Presiden Pas (menteri, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) menjadi sebahagian kerajaan 'Dajjal' ketika itu?
"Datuk Seri Anwar terus menyalurkan peruntukan di kawasan-kawasan parlimen yang diwakili oleh Pas (pada ketika ini).
"Ada ketikanya ia melebihi peruntukan di kawasan Parlimen yang diwakili oleh anggota parti kerajaan," ujar beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.
Dalam catatan minda Presiden Pas pada 3 November lalu, Hj Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang antaranya menyifatkan CSA adalah pendekatan 'Dajjal' pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa.




Comments