Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan memberi bayangan untuk membuka Akaun Fleksibel atau Akaun III KWSP yang boleh diakses bila-bila masa pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian-BN) berkata, akaun ketiga kepada pencarum itu adalah tambahan kepada dua akaun sedia ada.
"Pengeluaran seperti dahulu, kita tidak buat lagi. Mulai tahun depan, sudah diumumkan dalam Belanjawan 2024 kita akan membuka satu lagi akaun untuk pencarum KWSP.
"Buat masa sekarang, akaun KWSP adalah terdiri daripada Akaun I dan Akaun II. Apa yang diumumkan adalah Akaun Fleksibel. Kita akan mengumumkan apa maksud Akaun Fleksibel ini.
"Ini adalah untuk memanfaatkan dan meringankan beban kewangan ketika menghadapi keperluan di luar jangkaan. Sekarang ini sedang dimuktamadkan," katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Kalan Salan (PN - Sabak Bernam) yang bertanya kemungkinan kerajaan bercadang melaksanakan pengeluaran bersasar.
Mengulas lanjut, berkenaan dengan peratusan simpanan akaun ketiga itu, Ahmad Maslan memaklumkan kerajaan masih memperhalusi perkara tersebut.
Tambahnya, kerajaan pada ketika ini juga tidak berhasrat untuk meneruskan lagi pengeluaran khas antaranya i-Sinar, i-Citra dan i-Lestasri.
"Buat masa sekarang ini sedang dimuktamadkan, pengeluaran seperti dulu kita tidak buat lagi (pengeluaran khas).
"i-Lestari RM20.8 bilion, i-Citra sebanyak RM21.4 bilion, i-Sinar sebanyak RM58.7 bilion, serta pengeluaran khas sebanyak RM44.6 bilion," jelasnya lagi.
Comments