Ahli Majlis Pimpinan Pusat lantikan yang baharu, Rodziah Ismail bertekad akan menggunakan kepercayaan yang diberi oleh pimpinan parti untuk berusaha memantapkan KEADILAN dari segala sudut.
Katanya, beliau akan berusaha untuk menjelmakan perjuangan keadilan untuk rakyat, di samping terus berjuang memantapkan hak hak wanita.
"Dengan rendah hati dan berjiwa reformis, saya menerima lantikan selaku ahli dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN seperti yang diumumkan Datuk Seri Presiden, usai mesyuarat pertama MPP.
"Lantikan ini saya anggap sebagai amanah untuk dibuahkan hasil yang konsisten dan merupakan tanggungjawab yang diperhatikan seluruh anggota.
"Segala ruang pasti saya manfaatkan untuk kemajuan Parti dan menjelmakan keadilan untuk rakyat, tidak kira seberapa luas ruang yang ada," katanya.
Menurut Ahli Dewan Negeri Batu Tiga itu, beliau juga akan terus konsisten memperjuangkan reformasi sehingga KEADILAN menang dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
"Oleh itu, aspirasi dan azam yang saya laungkan, saya akan konsisten teruskan di atas platform ini di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Anwar dan Sdra Rafizi selaku Timbalan Presiden.
"Terima kasih Datuk Seri Anwar atas kepercayaan ini.
"Ayuh, kita perlu bekerja sampai menang pilihan raya," katanya lagi.
Comments