top of page

Air paip keruh bila hujan: KEADILAN Hulu Rajang desak tindakan segera

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 23
  • 2 min read
Abun (tiga dari kanan) dan penduduk Hulu Rajang mahu isu bekalan air keruh diselesaikan segera
Abun (tiga dari kanan) dan penduduk Hulu Rajang mahu isu bekalan air keruh diselesaikan segera

Penduduk Sungai Asap dan sepanjang Sungai Belaga, Kapit, Sarawak terus berdepan masalah bekalan air yang keruh setiap kali hujan turun, satu situasi yang disifatkan sebagai “kegagalan sistem asas” oleh Senator Abun Sui Anyit.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak itu, keadaan yang berlaku bukan sekadar ketidakselesaan, tetapi isu keselamatan awam yang serius kerana ramai penduduk terpaksa membeli air mineral setiap hari, sementara penapis air rumah pula cepat tersumbat dan rosak.


"Ramai keluarga tidak mampu membeli air mineral, lalu terpaksa minum, memasak dan mandi menggunakan air keruh. Ini merupakan risiko kesihatan yang besar dan tidak boleh dibiarkan berpanjangan," katanya dalam kenyataan.


Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu turut membangkitkan kegusaran mengenai pihak tertentu, seperti penjual air botol yang meraih keuntungan besar daripada masalah rakyat.


Sehubungan itu, Abun Sui mendesak tindakan segera oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Unit Kualiti Air Minum serta agensi berkaitan.


"(Pihak berkuasa perlu) melakukan pemeriksaan segera dan menyeluruh terhadap kualiti air yang dibekalkan; menjalankan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) terhadap sumber air; dan memeriksa kawasan buffer zone yang sepatutnya melindungi sungai daripada pencemaran," katanya.


Beliau berkata Kerajaan Negeri dan agensi bertanggungjawab tidak boleh terus berdiam diri, sebaliknya perlu menamakan punca sebenar masalah, sama ada akibat pembangunan, pembalakan, kerja tanah, perlombongan atau kelemahan sistem rawatan air.


"Rakyat berhak mendapat air bersih, selamat dan bermutu, bukan air berlumpur yang mengancam kesihatan


"Saya menegaskan bahawa sebarang kegagalan mengambil tindakan segera adalah satu pengabaian tanggungjawab kepada rakyat," tegasnya.


Dalam pada itu, kata beliau, Mesyuarat Cabang KEADILAN Hulu Rajang yang berlangsung kelmarin turut membincangkan isu air paip keruh di kawasan Sungai Asap secara mendalam kerana hal itu memberi kesan langsung kepada kehidupan harian penduduk.


Senator Abun Sui menegaskan KEADILAN Hulu Rajang akan terus memperjuangkan hak rakyat dalam mendapatkan bekalan air bersih dan memantau rapat sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa selepas ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page