Hari Raya Aidilfitri adalah hari untuk kembali kepada fitrah insan selepas sebulan menjalani tarbiyah Ramadan.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, Aidilfitri sewajarnya disambut dengan mengembalikan sikap dan semangat yang baik dalam diri seseorang insan.
"Tarbiah Ramadan mendidik kesabaran, disiplin, kejujuran dan mendidik kepedulian terhadap sesama kita.
"Kita tidak boleh alpa dengan kesusahan yang masih dihadapi rakyat akibat keghairahan politik kuasa.
"Tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat terpesong oleh kerana kepentingan sempit kuasa, pangkat dan wang.
"Sudah tiba masanya untuk kita “kembali kepada fitrah” dalam politik dengan menumpu kepada penyelesaian masalah rakyat, bukan masalah politik kepartian dan ahli politik semata-mata," katanya dalam perutusan sempena Hari Raya.
Ahli Parlimen Ledang itu mengingatkan BN yang menjadi Kerajaan Negeri Johor agar tidak mensia siakan undi rakyat pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.
Katanya, masalah rakyat hendaklah diselesaikan segera dan bukannya mengembalikan cara berkerja BN sebelum ini yang ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14.
"Masih banyak masalah rakyat belum selesai seperti masalah perumahan, kemiskinan, banjir, alam sekitar dan lain-lain.
"Sewajarnya kerja keras dan bersungguh-sungguh oleh kerajaan dan semua pemimpin dibuktikan segera sebaik selesai sambutan hari raya," kata Syed Ibrahim lagi.
Selain itu beliau turut menasihatkan rakyat yang meraikan Aidilfitri hari ini agar sentiasa patuh kepada SOP dan bersederhana dalam menyambut Syawal.
Comments