Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul baru baru ini berkesempatan melawat kampung halamannya, Kampung Pulau Sepom, Tikam Batu, Sungai Petani di hujung Ramadan.
Menurut beliau, banyak nostalgia pahit manis kehidupan yang kekal terpahat dalam ingatan apabila menjengah ke kampung berkenaan.
"Hari ini, saya menziarahi serta bertanya khabar mengenai keadaan penduduk di Kampung Pulau Sepom, Tikam Batu. Kebanyakan masyarakat di sini adalah kalangan warga emas.
"Saya turut meluangkan masa melawat rumah ibu saudara yang juga menetap di kampung terbabit. Ibu saudara saya sudah mencecah umur 80an dan masih lagi sihat.
"Sambil beramah mesra dan mendengar isi hati mereka, sempat juga saya meneliti beberapa dokumen daripada penduduk untuk mendapat pengesahan, tandatangan serta cop," katanya.
Dalam kesempatan itu, Datuk Johari sempat menyerahkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada pejabat parlimen Sungai Petani kepada masyarakat yang memerlukan.
"Sumbangan sempena perayaan Aidilfitri juga disampaikan kepada penduduk. Semoga Syawal yang bakal menjelma kali ini menghadirkan makna buat mereka.
"Kampung Pulau Sepom tetap kekal berada di hati dan sanubari jiwa saya," katanya lagi.
Comments