Tiga Ahli Parlimen dari KEADILAN yang terlibat denagan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan tampil mengemukakan laporan pertama mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin.
Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dengan ahli jawatankuasa terdiri daripada Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow dari KEADILAN dan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew dari DAP.
Seorang lagi ahli KEADILAN yang terlibat adalah Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh selaku Anggota Lembaga Pengarah League of Parliamentarians for Al-Quds (Al-Quds) (Kuala Lumpur) dan Pengerusi Parliamentary Friendship Group with Palestine.
Dalam kenyataan, Wong Chen mengumumkan laporan itu merupakan laporan sulung untuk Jawatankuasa Pilihan Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa dan laporan itu dibuat berdasarkan pertemuan bersama beberapa wakil Palestin yang diadakan pada 7 Februari 2020.
Beliau berkata, Syed Ibrahim selaku pengerusi jawatankuasa penganjur Persidangan Al-Quds di Malaysia dan juga anggota lembaga pengarah League of Parliamentarians for Al-Quds di KL banyak membantu jawatankuasa dalam mengatur pertemuan wakil antara dua negara selain memberikan panduan mengenai isu Palestin.
"Laporan ini pada awalnya akan dibentangkan dalam persidangan parlimen Mac 2020, tetapi disebabkan oleh perubahan pemerintahan dan penggantungan semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen, maka laporan ini ditangguhkan selama 8 bulan," katanya.
Wong berkata, salah satu penemuan penting daripada laporan tersebut adalah sumbangan kerajaan Malaysia kepada Palestin sangat kecil dengan anggaran RM4.6 juta setahun.
"Kami berharap Menteri Dalam Negeri dan Menteri Perdagangan Antarabangsan dan Industri akan mengkaji cadangan ini dan memberikan maklum balas kepada kami dalam masa 3 bulan," katanya.
Dalam laporan tersebut, jawatankuasa mengesyorkan tindakan berikut:
1. Menolak cadangan pentadbiran Trump untuk "Deal of the Contury: dan
2. Mempercepat perjanjian perdagangan bebas dengan Palestin untuk mendorong kegiatan perdagangan dua hala yang lebih besar dan
3. Meningkatkan sumber daya untuk meningkatkan pembangunan modal insan untuk Palestin melalui biasiswa pendidikan, dan
4. Meningkatkan bantuan sekurang-kurangnya tidak kurang dari RM10 juta setahun kepada Palestin daripada purata semasa RM 4.6 juta setahun, dan
5. Pembangunan sekolah di Gaza, seperti yang dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2013; dan
6. Meningkatkan pertukaran budaya dengan masyarakat Palestin tempatan di sini di Malaysia
Pada masa sama, Wong menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun supaya melantik anggota baharu Jawatankuasa Pilihan Khas dengan segera.
"Semua Jawatankuasa Pilihan Khas telah ditangguhkan sejak PKP pada bulan Mac 2020.
"Yang Dipertua Dewan Rakyat dan pihak kerajaan mestilah mempercepatkan pelantikan anggota baru kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang terjejas, menyediakan sumber yang mencukupi, dan membolehkan jawatankuasa memulakan semula tugas parlimen mereka dengan secepat mungkin.
"Berdasarkan keadaan politik semasa, Jawatankuasa Pilihan Khas mempunyai peranan yang mendesak dan penting untuk memberikan keseimbangan kepada pihak kerajaan dan membantu dalam pengembangan dasar," katanya.
ความคิดเห็น