Proses pemilihan bakal Perdana Menteri (PM) ke 9 belum berakhirnya sebagaimana diumumkan pihak Umno kerana Yang di-Pertuan Agong perlu menjelaskan kekaburan Akuan Berkanun (SD) yang dihantar oleh Ahli Parlimen menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sekiranya proses pemilihan telah tamat, hanya calon PM sahaja dipanggil mengangkat sumpah di istana, bukannya 113 Ahli Parlimen yang lain.
"Kita diarah oleh Parlimen (melalui Speaker) setiap Ahli Parlimen hantar surat sumpah sama ada secara emel, faks kepada Setiausaha Kanan Agong.
"Kita diperingkat KEADILAN, Warisan, DAP, Amanah, Upko, Pejuang hantar terus mengikut apa yang diminta oleh Parlimen itu kepada Setiausaha Kanan Agong.
"Oleh itu, SD 105 itu jelas disampaikan dan calonnya ialah Datuk Seri Anwar. Yang 114 dipanggil itu mungkin, yang ditulis itu lain, mungkin hantar kosong.
"Umno letak nak PRU (seperti menghadap Agong pada Februari 2020 lalu). Macam-macam boleh tulis, ini istilah kabur dan mungkin bila kabur harus dicerahkan, panggil seorang demi seorang. YB nak sokong siapa, nak sokong Anwar tetapi takut nak tulis? Jadi ia pelbagai andaian.
"Kurang tepat kita simpulkan Pakatan Harapan telah naikkan bendera putih. Biar perkara ini dicerahkan oleh pengumuman Agong," kata Shamsul dalam forum maya Ruang Bicara Bernama, bertajuk "Mencari Malaysia Yang Lebih Baik", yang dihoskan oleh wartawan veteran Sherkawi Jirim, semalam.
Ditanya oleh hos sama ada Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu masih yakin Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang menjadi PM, Shamsul menjelaskan berdasarkan fakta, Bersatu tidak menyokong Ismail tanpa syarat dan GPS pula tidak menyatakan sokongan secara jelas dan cuba bersikap berkecuali.
"Saya bercakap berdasarkan fakta, saya tidak melihat cakap-cakap, Whatsapp dan sebagainya. Rasminya yang nyatakan sokongan kepada Ismail ini Umno dan komponen lain seperti BN dan Pas. Ini yang rasmi. Malah Bersatu itu pun, saya baca kenyataan YB Pagoh, walaupun menyokong tetapi ada syarat.
"Kalau kita lihat GPS pula media melaporkan, temuramah Datuk Seri Fadhilah dan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari mengatakan nama telah dihantar, siapa dia, biarlah Tuanku yang umumkan. Siapa yang Tuanku putuskan kami beri sokongan.
"Dari situ, dari segi fakta jumlah yang rasmi kalau ikut pengumuman parti sekitar 96 Ahli Parlimen. 18 GPS telah hantar tetapi tidak beritahu siapa.
"Dalam notis yang diberikan kepada kita, sokongan kepada mana-mana Ahli Parlimen tidak boleh ada syarat. Ini clear. Saya bimbang apakah dengan kenyataan media 'ada syarat untuk sokongan', apakah itu dianggap boleh diterima untuk Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Comments