Propaganda kononnya 7 Ahli Parlimen BN akan melompat ke Perikatan Nasional (PN) dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen terlebih dahulu boleh dianggap sebagai spekulasi liar.
Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Nor Adam berkata, terutama 4 Ahli Parlimen dari Johor telah dipastikan mereka tidak akan berbuat demikian sebagaimana yang tersebar di media sosial.
"(Bekas pemimpin UMNO Kelantan) Annuar Musa mengatakan bahawa 4 September satu pengumuman besar akan dilakukan oleh Hj Hadi (Presiden Pas).
"Sebelum Hj Hadi sempat menceritakan apa yang berlaku 4 September, dengar khabar dari hint yang diberikan Annuar beliau mengatakan bahawa 7 orang Ahli Parlimen daripada BN kemungkinan akan meninggalkan parti dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen, menyertai Bersatu atau Pas dan bertanding atas tiket PN.
"Hari ini saya boleh menyatakan harapan Annuar ini sudah hancur lebur. Maklumat terkini yang kita terima daripada 7 orang ini 4 yang berasal dari Johor hampir pasti tidak ada satu pun yang akan keluar parti seperti mana diharapkan Annuar dan geng pengkhinaat lain," katanya dalam Facebook live Lokman Adam Official, malam tadi.
Menurut Lokman lagi, hanya 1 atau 2 Ahli Parlimen yang mungkin berani berbuat demikian.
Namun katanya, selepas mengetahui 4 Ahli Parlimen Johor tidak akan melakukannya maka baki Ahli Parlimen itu mungkin melupakan niat mereka.
"Tinggallah 1 - 2 orang yang kemungkinan besar di luar Johor. Saya rasa akibat kawan kawan Johor yang tak berani meninggalkan parti, tak berani kosongkan kerusi, mereka di tempat lain akan fikir 10 kali untuk melakukan tindakan yang tidak berapa bijak ini," katanya.
Bagi Ahli Parlimen Johor, kata Lokman, mereka sebagaimana rakyat biasa mempunyai taat setia kepada Sultan Johor yang tidak berbelah bahagi.
Apabila Sultan Johor kelihatan senang dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim maka rakyat atau Ahli Parlimen tidak akan berbuat sesuatu yang membelakangkan Tuanku.
"Kita bagi jaminan kawan kawan di Johor inshaAllah (tidak berkhianat). Kita orang Johor ini lain, kita punya taat setia Ke Bawah Duli Tuanku luar biasa. Tak macam negeri lain," katanya lagi.
Commentaires