Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Shatiri Mansor memulakan edaran bantuan bakul makanan kepada penduduk di DUN tersebut bermula pada Tahun Baharu Cina.
Menurut Shatiri, agihan bantuan dilakukan di rumahnya yang telah diubah suai bagi menyimpan stok bantuan barangan makanan.
"Semua maklum ADN Selangor diberi peruntukan yang besar iaitu RM100,000 untuk membantu warga DUN.
"Dalam usaha tersebut kita beri bantuan barang dapur. Kita telah menerima 2,400 permohonan secara online dari seluruh penduduk.
"Hari ini adalah hari keempat kami buat agihan di rumah kediaman saya. Hasrat saya sebagai wakil rakyat saya nak jumpa semua pemohon itu
"Saya nak tahu betul-betul kesusahan mereka dalam keadaan Covid 19 sekarang," katanya kepada Suara Keadilan sewaktu sesi agihan hari ini.
Menurutnya lagi, hanya penerima bantuan yang dihubungi sahaja dibenarkan datang mengikut SOP yang ketat.
Oleh itu, proses agihan dijangka mengambil masa sehingga 15 hari.
"Rakyat gembira datang ke rumah saya. Mereka dari Kota Damansara, Kampung Baru Sungai Buloh, Kampung Melayu Subang, Subang Bistari, Subang Perdana dan semua.
"Saya buat di rumah kerana pejabat saya tingkat atas, ada yang mengadu kena naik tangga. Kemudian nak simpan barang 2,000 bungkus tak ada ruang. Saya ubah suai rumah untuk simpanan dan agihan barang.
"Kita tanya pemohon kalau boleh datang kita bagi lokasi. Yang tidak boleh datang kita akan hantar barang atau kita cari wakil untuk agih kepada mereka seperti keluarga terdekat, ketua masyarakat atau sebaganya.
"Pemohon juga perlu tunjuk kad pengenalan yang asli bagi mengelak berlaku kes orang lain yang mendapat bantuan," katanya lagi.
Ditanya sama ada program bantuan boleh dilakukan bersama kerajaan pusat, Shatiri berkata hal itu tidak menjadi masalah kerana sewaktu pandemik Covid 19 rakyat diutamakan.
Yorumlar