top of page

Ahli akademik Thailand anggap lawatan Anwar sangat penting



Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Thailand hari ini bagi memenuhi jemputan Jeneral Prayut Chan-o-cha, Perdana Menteri Thailand.


Menariknya, sejak bulan lalu, tumpuan laporan berita media tempatan Thailand sudah mula terarah kepada lawatan dua hari ini dan dianggap sebagai sangat penting bagi membuka lembaran baharu hubungan dua hala


Pengarah Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Thammasat Kampus Rangsit, Thailand, Prof Dr Chaiwat Meesanthan menyifatkannya peristiwa kali ini sangat signifikan dan bukan sekadar lawatan hormat antara pemimpin Malaysia-Thailand.


"Bagi Thailand, lawatan ini bukan sahaja 'honor visit' tetapi sebagai lawatan yang penting untuk perbincangan dan pentas menaiktaraf isu-isu yang Thailand mahu bincangkan dengan Perdana Menteri.


"Lawatan ini pentas penting untuk kerajaan Thailand," katanya dipetik.


Sebagai negara berjiran, Malaysia dan Thailand memiliki sejarah hubungan sangat panjang, hubungan diplomatik kedua-dua negara diteruskan sejak negara mencapai kemerdekaan pada pada 1957.


Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, Anwar dan Prayut akan membincangkan hala tuju kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.


Kedua-dua mereka akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.


Sementara itu, lawatan Anwar juga dianggap kepada harapan agar keamanan di selatan Thailand dapat diwujudkan.


Pensyarah kanan Institut Kajian Keamanan di Universiti Prince of Songkla, Penolong Prof. Dr Srisompob Jitpiromsri berkata, rundingan damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) dapat diperbaiki dengan Anwar selaku perdana menteri.


"Beliau (Anwar) memahami isu pemberontakan dengan lebih mendalam dan mempunyai hubungan yang baik dengan penduduk di wilayah selatan sejak sekian lama.


"Syarat rundingan untuk Thailand secara relatifnya utuh tanpa perubahan kerajaan," katanya dipetik Bangkok Post.


Pandangan sama turut dinyatakan bekas pensyarah hubungan antarabangsa di Universiti Chulalongkorn.


Panitan Wattanayagorn berkata, setelah Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, kebarangkalian rundingan damai membuahkan hasil kini lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.


Dari segi hubungan diplomatik, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mempunyai hubungan rapat dengan ramai tokoh di Thailand termasuk ahli politik, pegawai kanan tentera dan ahli akademik serta masyarakat sivil.


"Rundingan damai boleh menarik lebih banyak kumpulan pemberontak selain BRN.


"Melihat kepada gambaran yang lebih luas, terdapat harapan yang tinggi (untuk rundingan damai) walaupun tetap berhati-hati untuk mengelakkan kekecewaan," katanya.


Sebagai rekod, Malaysia berperanan sebagai fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun lamanya yang meletus pada Januari 2004 di wilayah selatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.


Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai di Selatan Thailand yang baharu, berkuat kuasa 1 Januari 2023.


Isu sempadan adalah antara perkara yang turut akan dibincangkan antara Malaysia dan Thailand pada lawatan kali ini.


Selain pertemuan diantara kedua pemimpin, Anwar juga dijadual mengadakan sesi libat urus dengan diaspora Malaysia di Bangkok.


Pada lawatan kali ini, Perdana Menteri akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi Malaysia terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad serta pegawai dari kementerian dan agensi yang berkaitan.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page