
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 8.
Agong juga berkenan agar Mahiaddin meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri ‘caretaker’ atau sementara sehingga Istana Negara melantik PM baharu.
"Pada sesi menghadap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, yang berlangsung selama 30 minit bermula jam 12.30 tengah hari, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima surat peletakan jawatan Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhiaddin Md Yasin sebagai perdana menteri dan jawatan seluruh jemaah menteri dengan serta merta berkuat kuasa pada hari ini.
"Susulan daripada peletakan jawatan ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan supaya Tan Sri Muhiaddin menjalankan tugas sebagai caretaker perdana menteri sehingga perdana menteri baru dilantik," kata kenyataan Istana Negara
Menurut kenyataan itu, hal berkenaan adalah selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai PM baru untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
Mahiaddin mencipta rekod sebagai PM paling singkat memerintah kerajaan dengan usia kekuasaan selama 18 bulan.
Sebelum ini, Tun Mahathir Mohamad merupakan PM paling singkat apabila dijatuhkan melalui Langkah Sheraton selepas kerajaan Pakatan Harapan memerintah selama 22 bulan.