top of page

Agong berkenan lantik Dr Syed Naquib Al-Attas sebagai profesor diraja



Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan watikah pelantikan Profesor Diraja kepada Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara semalam.


Pelantikan Profesor Diraja kepada Dr Syed Muhammad Naquib adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.


"Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas merupakan Pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) dan juga seorang tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani serta dihormati di dalam dan luar negara," kata Sultan Ibrahim dalam hantaran di Facebook baginda.


"Beliau juga merupakan individu penting yang membentangkan konseptualisasi universiti Islam pada Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada tahun 1977 yang telah membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia."


Sementara itu, Dr Syed Muhammad Naquib, 93, turut menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim di atas kurniaan kepada beliau.


Hadir sama pada majlis pengurniaan watikah itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Azlinda Azman.


Terdahulu Zambry berkata pengurniaan bersejarah gelaran Profesor Diraja kepada Dr Syed Muhammad Naquib akan menjadi pemangkin dan inspirasi kepada seluruh rakyat terutama ahli akademik Malaysia.


Beliau berkata pengurniaan itu diharap dapat merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan, seterusnya menyumbang bakti ke arah memartabatkan budaya ilmu di negara ini.


Tambahnya kerajaan turut bersetuju memberikan anugerah berjumlah RM500,000 kepada Syed Muhammad Naquib sebagai mengiktiraf dan menyanjung sumbangan beliau terhadap bidang pendidikan.


"Beliau merupakan tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani dan dihormati di dalam dan luar negara dan telah memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.


"Warisannya tidak ternilai kepada bidang bahasa adabiyat (peradaban) dan kesusasteraan Melayu," katanya ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Profesor Diraja di Istana Negara hari ini.


Syed Muhammad Naquib mendapat pendidikan awal di English College Johor Bahru yang kini dikenali Maktab Sultan Abu Bakar pada 1946.


Beliau kemudian mendapat pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya, Singapura pada 1957 sebelum melanjutkan pengajian pascasiswazah pada 1960 di University McGill, Kanada dan seterusnya di University of London, United Kingdom pada 1963.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page