Agihan kerusi PRN dimuktamad lepas PM kembali dari Jepun
- Suara Keadilan
- 13 minutes ago
- 2 min read

Pengagihan kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sudah diselesaikan dengan keputusan muktamadnya bakal ditentukan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pembahagian kerusi bagi kedua-dua negeri itu telah dipersetujui di peringkat Sekretariat PH namun masih memerlukan pengesahan rasmi Majlis Presiden sebelum dianggap muktamad.
"Jadi proses selanjutnya adalah untuk memberikan pengesahan. Ia akan ada satu mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Perdana Menteri.
"Saya akan bentangkan di situ, baru ia berstatus muktamad. Dalam masa terdekat," katanya dipetik selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.
Saifuddin yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata semua urusan rundingan dan pengagihan kerusi telah diselesaikan menerusi mesyuarat Sekretariat PH yang diadakan di Johor baru-baru ini.
Menurut beliau rundingan tersebut turut termasuk penyelesaian tuntutan bertindih membabitkan beberapa kerusi antara parti komponen gabungan berkenaan.
"Biasanya formaliti memuktamadkan itu, saya kena bentangkan balik kepada Majlis Presiden sebab saya cuma pengerusikan Sekretariat yang melunaskan semua urusan perundingan kerusi.
"Seperti juga saya buat di Negeri Sembilan, ada 36 Dewan Undangan Negeri (DUN), cuma ada satu sahaja kerusi yang menjadi tuntutan bertindih. Itu juga sudah kita bereskan dalam mesyuarat Sekretariat di Johor," katanya.
Beliau berkata mesyuarat Majlis Presiden PH dijangka diadakan sejurus selepas Anwar selesai lawatan rasmi ke Jepun yang bermula hari ini hingga 10 Jun.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan PH mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor pada PRN akan datang.
Pada Khamis lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi PH negeri turut mengumumkan bahawa gabungan itu akan bertanding di semua 36 kerusi DUN di negeri berkenaan.
