top of page

Agenda 2026: Perkukuh negara bangsa, tumpu pendekatan sentuhan sosial - Yuneswaran

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Yuneswaran menjelaskan wawasan Kementerian Perpaduan pada 2026 dalam wawancara di pejabatnya
Yuneswaran menjelaskan wawasan Kementerian Perpaduan pada 2026 dalam wawancara di pejabatnya

Oleh: Sidiqin Omar


WAWANCARA: Kementerian Perpaduan Negara menetapkan tahun 2026 sebagai fasa pengukuhan agenda perpaduan nasional dengan penekanan kepada pembinaan negara bangsa, pemantapan dasar serta pelaksanaan program berimpak tinggi yang lebih dekat dengan rakyat.


Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran berkata, Kementerian Perpaduan merupakan antara kementerian yang paling rapat dengan kehidupan seharian rakyat kerana ia menyentuh aspek budaya, agama dan cara hidup masyarakat berbilang kaum di Malaysia.


"Isu perpaduan ini bukan isu satu kaum sahaja, malah melibatkan intra-kaum dan keseluruhan negara. Ia adalah isu whole of nation yang memerlukan kerjasama semua kementerian," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Suara Keadilan.


Menurut Yuneswaran, perancangan kementerian bagi tahun 2026 digerakkan berasaskan tiga teras utama, iaitu pengukuhan dasar, hala tuju negara serta pelaksanaan program dan inisiatif di peringkat akar umbi.


"Teras pertama memberi fokus kepada aspek perundangan dan dasar sebagai landasan jangka panjang kepada perpaduan nasional. Teras kedua pula melibatkan hala tuju negara, khususnya bagaimana identiti kebangsaan dapat diperkukuh melangkaui perbezaan kaum, agama dan wilayah.


"Manakala teras ketiga melibatkan pelaksanaan program yang memberi sentuhan sosial secara langsung kepada rakyat," kata Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat.


“Bersama Membina Negara Bangsa”


Justeru ujarnya, bagi memperkukuh hala tuju tersebut, Kementerian Perpaduan telah melancarkan tema baharu, “Bersama Membina Negara Bangsa” yang akan menjadi kerangka utama perancangan kementerian sepanjang tahun 2026.


"Tema ini adalah penjenamaan bahawa semua rakyat perlu rasa kita adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu," kata Yuneswaran menjelaskan pendekatan tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan MADANI yang menekankan perpaduan sebagai teras pentadbiran negara.


Tambah beliau Kementerian Perpaduan akan terus memperkukuh pendekatan berteras sentuhan sosial melalui pelbagai program keharmonian, kemasyarakatan dan kebudayaan.


Antara tumpuan utama bagi sepanjang 2026 ini adalah dengan penganjuran lebih banyak program silang budaya dan perayaan yang melibatkan pelbagai kaum dan wilayah, termasuk Sabah dan Sarawak, bagi meningkatkan kefahaman antara masyarakat.


"Kalau tak kenal, maka tak cinta. Perpaduan bukan isu perbezaan kaum, tetapi isu kefahaman yang perlu kita mantapkan," katanya.


Amalan Rukun Negara simbol perpaduan


Sebagai sebahagian daripada usaha membudayakan nilai kebangsaan, Kementerian Perpaduan juga memperkenalkan inisiatif pembacaan Rukun Negara sebelum persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.


Menurut beliau, langkah ini bukan sekadar simbolik, tetapi bertujuan menetapkan norma baharu bahawa kepentingan negara mesti diutamakan mengatasi sentimen politik atau identiti sempit.


"Parlimen sebagai institusi tertinggi negara seharusnya menjadi contoh kepada rakyat dalam menjunjung nilai perpaduan," ujarnya.


Mengulas isu polarisasi kaum dan wilayah pula, Yuneswaran menegaskan bahawa kepelbagaian etnik di Malaysia sebenarnya merupakan satu kekuatan unik, dan bukannya masalah.


Beliau berkata, kebanyakan sentimen perkauman yang tular di media sosial hanya digerakkan oleh segelintir pihak berkepentingan, manakala realiti di peringkat akar umbi menunjukkan rakyat lebih menumpukan isu kos sara hidup dan kebajikan.


"Di kedai kopi, di bawah, rakyat tak bercakap soal kaum atau agama. Isu sebenar mereka adalah isu kehidupan harian," katanya.


Menjelang 2026, Kementerian Perpaduan menyasarkan perpaduan nasional dapat dirasai secara nyata oleh rakyat melalui dasar yang konsisten, program inklusif dan pendekatan mendidik berasaskan kefahaman, hormat dan ingatan terhadap sejarah serta kepelbagaian negara.


"Inilah Malaysia. Kepelbagaian ini tidak boleh diubah, dan ia adalah kekuatan untuk kita tunjukkan kepada dunia," kata Yuneswaran lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page