top of page

Agama tidak wajar dijadikan ukuran tunggal kelayakan pemimpin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 59 minutes ago
  • 2 min read

Kenyataan Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang mengenai pembahagian jawatan Kabinet berdasarkan agama memperlihatkan kecenderungan parti itu menilai kepimpinan berdasarkan identiti seseorang, bukannya nilai dan integriti yang dibawa pemimpin berkenaan, kata Naib Presiden KEADILAN Datuk Chang Lih Kang (gambar).


Beliau berkata agama seseorang semata-mata tidak menjamin bahawa individu itu merupakan pemimpin yang layak, sebaliknya nilai seperti amanah, keadilan, kejujuran dan integriti perlu menjadi asas dalam menentukan kelayakan seseorang untuk memegang kuasa.


"Saya ingin bertanya satu soalan mudah kepada Presiden Pas. Jika pilihannya antara seorang pemimpin Islam yang pecah amanah, menyalahgunakan kuasa atau mencuri wang rakyat dengan seorang bukan Islam yang jujur, berintegriti dan berkebolehan, siapakah yang lebih layak diberi tanggungjawab untuk memimpin?" katanya dalam kenyataan hari ini.


Lih Kang berkata, Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan agama justeru setiap rakyat yang berkebolehan, berintegriti dan setia kepada negara wajar diberikan peluang untuk berkhidmat pada peringkat tertinggi tanpa dinafikan semata-mata kerana agama atau keturunan.


Menurutnya, Pas perlu menjelaskan bentuk Islam yang mahu diperjuangkannya dalam pentadbiran negara, sama ada Islam yang menegakkan keadilan dan amanah serta menentang penyelewengan tanpa mengira pelakunya atau menjadikan agama sebagai ukuran identiti politik.


"Sebab itu Pas perlu menjawab persoalan yang lebih besar, apakah sebenarnya Islam yang mahu mereka perjuangkan dalam pentadbiran negara?


"Islam yang menegakkan keadilan, amanah dan menentang penyelewengan tanpa mengira siapa pelakunya, atau Islam yang dijadikan ukuran identiti sekadar untuk meraih undi dan memegang kuasa?" soalnya.


Lih Kang berkata Pas mempunyai sejarah politik yang lebih banyak menekankan soal identiti berbanding memperjuangkan nilai berkenaan secara konsisten.


Ujarnya, perkara itu menjadi semakin penting ketika negara berdepan krisis kepercayaan berkaitan pengurusan dan penyalahgunaan dana awam, termasuk isu 1MDB, Tabung Haji dan FELDA.


"Ketika negara berdepan krisis kepercayaan melibatkan pengurusan dan penyalahgunaan dana awam, termasuk isu 1MDB, Tabung Haji dan FELDA, suara Pas dalam mempertahankan prinsip akauntabiliti dan integriti tidak selantang retorik mereka mengenai kaum dan agama," katanya.


Ahli Parlimen Tanjung Malim itu berkata, rakyat Malaysia seharusnya bergerak melangkaui politik identiti dengan memberi keutamaan kepada pemimpin yang benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat.


"Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama. Setiap rakyat Malaysia yang berkebolehan, berintegriti dan setia kepada negara harus mempunyai peluang untuk berkhidmat pada peringkat tertinggi tanpa dinafikan semata-mata kerana agama atau keturunannya


"Selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik Malaysia perlu bergerak melangkaui politik identiti. Kita sepatutnya mengutamakan pemimpin yang mengangkat nilai-nilai seperti amanah, integiriti dan keadilan, yang benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat," katanya lagi.


Terdahulu, dalam Muktamar Pas ke-72 di Kota Bharu yang berakhir semalam, Hj Hadi dipetik laporan media berkata, konsep pemerintahan yang akan dipraktikkan parti itu jika mereka menjadi kerajaan ialah tiada mana-mana pihak yang akan dipinggirkan termasuk golongan bukan Islam kerana mereka juga akan diberikan jawatan dalam kabinet.


Menurut Hj Hadi, jawatan yang akan diamanahkan kepada bukan Islam bagaimanapun tidak melibatkan kementerian yang mempunyai kuasa membuat dasar ke atas orang Islam.


Bagi kementerian yang lain, kata Hj Hadi, ia mesti diketuai oleh orang Islam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page