
ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern (gambar, kiri sekali) hari ini menyertai flashmob di Simpang Jalan Kelapa Sawit, Johor membantah kenaikan harga barang yang tidak terkawal.
Menurut Arthur, flashmob tersebut dianjurkan mengikut lunas undang undang dan notis mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman sudah dipohon daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Flashmob ini juga disertai ADUN Semambu, Lee Chean Chung selaku Bendahari Parti Keadilan Rakyat dan aktivis masyarakat setempat yang mahukan kerajaan mengambil perhatian dalam soal isu kenaikan harga barang makanan baru-baru ini.
"Ramai risau harga barangan makanan akan meningkat lagi dalam jangka masa yang terdekat akibat inflasi jika tiada intervensi kerajaan.
"Saya juga menyarankan pihak kerajaan mengawal selia harga barangan agar harga tidak naik secara mendadak dan tinggi sehingga negara tidak mampu mengimbangi kadar inflasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Arthur lagi, Kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil langkah proaktif memantau peningkatan harga supaya tidak dimanipulasi mana-mana pihak
Dalam pada itu beliau juga menyokong permintaan gerakan mahasiswa yang berhimpun di Pasar Seni, Kuala Lumpur minggu lepas yang mahukan gaji dan elaun Menteri serta Timbalan Menteri dipotong, dan kerajaan perlu meningkatkan bantuan berkala kepada rakyat Malaysia dalam keadaan yang tidak menentu ini.
"Sehubungan itu, saya juga bersolidariti bersama lapan aktivis mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi #TURUN dan dipanggil polis. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan intimidasi terhadap para mahasiswa kerana ini adalah hak mereka.
"Saya berharap ‘flash mob’ ini akan menjadi titik permulaan untuk rakyat menunjukkan tanda protes terhadap prestasi buruk terhadap kerajaan yang tidak dapat mengawal harga barangan makanan," katanya lagi.
Tegas Arthur, tujuan utama ‘flashmob’ itu diadakan adalah bagi mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan propaganda agenda politik berunsurkan agama, bangsa dan kaum.
Sedangkan, katanya, parti parti kerajaan dalam masa sama tidak langsung memikirkan untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga yang membebankan rakyat.
Comentarios