ADUN Batu Uban sambut baik PM bangkitkan bahaya penggunaan vape
- Suara Keadilan
- Jun 24
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Keputusan tegas beberapa Kerajaan Negeri untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di kawasan pentadbiran masing-masing, mendapat pelbagai reaksi positif susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan peranti itu dalam kalangan remaja dan kesan buruk terhadap kesihatan awam.
Tidak terkecuali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan (gambar) turut menyatakan sokongan terhadap langkah berkenaan dan menegaskan beliau konsisten dalam membangkitkan isu tersebut.
''Saya menyambut baik gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar isu vape dan penyalahgunaan dadah ditangani segera.
''Saya juga konsisten membangkitkan kedua-dua isu itu ketika berlangsungnya Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),'' katanya dalam satu video di platform Tiktok.
Dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini, Anwar yang juga Presiden KEADILAN memaklumkan bahawa isu ketagihan dadah dan penggunaan vape telah dibincangkan.
Oleh itu, beliau menggesa semua pihak berkaitan agar mencari jalan penyelesaian yang menyeluruh sama ada melalui peruntukan dana, sesi kaunseling dan sebagainya memandangkan masalah tersebut telah membelenggu masyarakat sejak puluhan tahun lalu.
Sebelum ini, A Kumaresan dipetik berkata, penggunaan vape kini menjadi satu fenomena yang amat serius dalam kalangan remaja hingga ke golongan tua.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus meneliti dari sudut dasar dan perundangan bagi tindakan melaksanakan tindakan pencegahan.
Kommentare