ADUN Batu Uban lawat sekolah Cina nilai permohonan bantuan tahun 2026
- Suara Keadilan
- 17 minutes ago
- 1 min read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap bantuan pendidikan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang benar-benar memberi manfaat kepada sekolah dan murid yang memerlukan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak dan penilaian terhadap beberapa permohonan bantuan peruntukan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC/SMJK) bagi tahun 2026.
Lawatan tersebut turut disertai oleh Ketua Staf Pusat Khidmat ADUN Batu Uban, Cheah Peng Guan, serta Saudara Manimaran.
"Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab saya adalah menilai setiap permohonan baharu, menyemak keperluan sebenar projek yang dikemukakan serta mencadangkan jumlah peruntukan yang wajar untuk memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memberi manfaat kepada pihak sekolah dan murid," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, bagi kawasan Kadun Batu Uban, terdapat lima buah sekolah jenis kebangsaan Cina yang terlibat dalam penilaian tersebut, iaitu SJKC Keong Hoe,
SJKC Kwang Hwa (Sungai Nibong),
SJKC Min Sin, SJKC Shih Chung (Cawangan) dan SMJK Phor Tay.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited dalam menyokong pembangunan pendidikan pelbagai aliran tanpa mengira latar belakang sekolah.
"Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited dalam menyokong pembangunan pendidikan pelbagai aliran demi memastikan setiap sekolah mempunyai kemudahan yang selamat, kondusif dan berkualiti untuk anak-anak kita belajar," katanya.
Program lawatan tapak ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan semua sekolah di Pulau Pinang terus menikmati kemudahan pembelajaran yang terbaik, selaras dengan matlamat menjadikan negeri itu hab pendidikan berkualiti di utara tanah air.





