Adam Adli mampu suntik nafas baharu pendidikan tinggi negara - AMK
- Suara Keadilan
- 9 hours ago
- 1 min read

Pelantikan Adam Adli Abdul Halim sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap idealisme, keberanian serta konsistensi perjuangannya untuk mengangkat suara anak muda, mahasiswa dan rakyat marhaen.
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menerusi satu kenyataan menyatakan keyakinan bahawa pelantikan bekas aktivis pelajar itu mampu menyuntik nafas baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara, selari aspirasi Malaysia MADANI yang menjunjung nilai ilmu, bakat dan kemanusiaan sebagai teras pembangunan negara.
"Biro NGO dan Sukarelawan AMK merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas pelantikan YB Adam Adli.
"Dengan pengalaman luas di peringkat akar umbi serta kefahaman mendalam terhadap denyut nadi mahasiswa, beliau berupaya memperkukuh ekosistem pengajian tinggi agar lebih inklusif, progresif dan berdaya saing.
"Rekod khidmat beliau yang berpaksikan reformasi, keadilan sosial serta keberpihakan kepada masa depan generasi mampu menyuntik nafas baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara," kata Setiausaha Pengelola biro tersebut, Farhana Najwa Zulkiflee (gambar).
Seiring pelantikan itu, biro tersebut jelasnya bersedia untuk terus bekerjasama sebagai rakan strategik untuk menjayakan agenda reformasi pendidikan tinggi negara, khususnya dalam memperkasa peranan mahasiswa dan meningkatkan mobiliti sosial.
Mereka turut mendoakan agar Adam Adli terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan keteguhan prinsip dalam memikul amanah tersebut demi masa depan negara.





