top of page

Pilihan raya ketika Covid-19 bahayakan nyawa rakyat - KEADILAN Sarawak


Tindakan mengadakan pilihan raya tahun ini termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika wabak Covid-19 masih berleluasa adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan hanya mengundang bahaya kepada nyawa rakyat, kata Naib Presiden KEADILAN, Dr Michael Teo Yu Keng.


Beliau amat khuatir dengan pengumuman berulang kali daripada kerajaan negeri Sarawak yang berhasrat untuk mengadakan PRN dalam waktu terdekat.


"Ini jelas sekali merupakan langkah yang membahayakan kesejahteraan ribuan nyawa rakyat Sarawak, termasuk yang muda, yang berisiko tinggi dan warga tua.


"Berikutan PRN Sabah, negara kita sekali lagi mengalami peningkatan jumlah kes Covid-19 serta kematian.


"Langkah kerajaan negeri Sarawak ingin mengadakan pilihanraya pada waktu ini tidak masuk akal dan membahayakan kesejahteraan serta nyawa ribuan rakyat Sarawak serta pekerja awam suruhanjaya pilihanraya, guru-guru yang akan bertugas di pusat pilihanraya serta petugas barisan hadapan doktor dan jururawat," katanya.


Dr Michael yang juga Ahli Parlimen Miri turut menggesa kerajaan supaya sedar terhadap kesan buruk yang akan menimpa rakyat dan negara jika pilihan raya tetap diadakan.


"Selepas PRN Sabah, kita telah lihat bahawa ahli politik dan jentera pilihanraya mempunyai kemampuan untuk menjadi penyebar utama wabak Covid-19 (super spreader).


"Hati saya sangat sedih melihat katil Intensive Care Unit (ICU) di Sabah mencapai kapasiti lebih daripada 75% dengan ramai pesakit tenat dan doktor serta jururawat terpaksa bekerja sepanjang masa berusaha untuk merawat pesakit malang ini.


"Akibat tidak cukup jururawat dan pakar kesihatan di Sabah, ramai pekerja barisan hadapan dari Sarawak dan Semenanjung terpaksa ke Sabah untuk membantu sehingga beberapa petugas ICU dan kakitangan perubatan dijangkiti virus Covid-19.


"Ini merupakan pengorbanan yang sangat besar bagi pihak profesional tersebut dan keluarga mereka," katanya.


Pada masa sama, Dr Michael berpandangan bahawa kerajaan Sarawak harus memastikan mereka memiliki peruntukan yang mencukupi dan mampu menangani kenaikan kes yang tidak dijangka, bukan menumpukan kepada pilihan raya semata-mata.


"Ini merangkumi memastikan bekalan kit ujian diagnostik pantas(agar setiap orang yang memerlukan ujian memperoleh ujian dengan cepat di tempat rawatan), PPE untuk melindungi pekerja kesihatan dan katil ICU serta ventilator unit rawatan rapi yang mencukupi di seluruh Sarawak termasuk kakitangan terlatih untuk mengurus sebarang kenaikan kes.


"Mengadakan pilihan raya negeri di Sarawak umpama menjemput risiko yang sama di Sarawak.


"Sistem perubatan yang terabai di Sabah dan Sarawak bermaksud kedua-dua negeri tidak berkemampuan menjaga ramai pesakit ICU sekiranya berlaku lonjakan besar dalam kes-kes kritikal Covid-19.


"Kerajaan Negeri Sarawak tidak wajar mengadakan pilihan raya sehingga pandemik Covid-19 terkawal," katanya.


Dr Michael juga berpendapat dana pilihan raya yang memakan ratusan juta ringgit itu lebih baik digunakan untuk menaik taraf sektor kesihatan bagi menangani Covid-19.


"Pilihan raya Sabah baru-baru ini menelan belanja pembayar cukai beratus juta ringgit.


"Dana ini sebaiknya dibelanjakan untuk membeli kit ujian diagnostik pantas, ventilator, menaik taraf hospital dan memberikan sokongan kebajikan bantuan Covid-19 untuk warga B40 dan M40 di negara kita yang menderita akibat kemerosotan ekonomi global terutamanya rakyat Sabah dan Sarawak," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page