top of page

Adakah PH Semakin Jinak Kerana MoU?



Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN: Jika ada anggapan sedemikian, maka anggapan itu tidak betul. Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan parti pembangkang terbesar dalam Parlimen masih kekal memainkan peranannya melakukan semak dan imbang di Dewan Rakyat.


Hal ini dapat dilihat dalam perbahasan Belanjawan 2022, dan suara lantang PH di dalam dan di luar Parlimen berlaku dalam pelbagai isu, misalnya pandemik Covid-19, Pandora Papers, bencana banjir di Selangor, Pahang dan beberapa negeri lain dan terbaharu isu SPRM melibatkan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki.


Hakikatnya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan PH tidak menghalang PH menjalankan tugas menurut konvensi Perlembagaan di bawah sistem demokrasi berparlimen, iaitu melakukan proses semak dan imbang ke atas badan Eksekutif ataupun kerajaan.


Adakah MoU mencapai kejayaan?


Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani pada 13 September 2021 baru sahaja berumur empat bulan. Namun, setakat 20 Januari 2022 dianggarkan sebanyak 70 peratus perkara-perkara yang telah disepakati telah berjaya dilaksanakan.


Misalnya Perlaksanaan Undi 18 telah pun diwartakan dan akan dilaksanakan jika ada Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Negeri pada tahun 2022 ini. Tentu perkara ini satu pencapaian penting hasil dari MoU.


Apa lagi yang dicapai? Rakyat amat marah dengan gejala lompat parti dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang menyebabkan Kerajaan yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat tumbang. PH telah memperjuangkan supaya digubal Akta Anti-Lompat Parti. Ini termasuk satu daripada klausa dalam MoU.


Kerajaan mahu membentang Akta Anti-Lompat Parti itu pada sidang Dewan Rakyat Julai tahun 2022. Tetapi dibantah oleh PH. Garis masa yang ditetapkan di dalam MoU ialah Akta Anti-Lompat Parti itu mesti dibentang pada sidang pertama tahun 2022 ini.


Akhirnya atas tuntutan PH maka Kabinet bersetuju membentangkan Rang Undang-Undang Akta Anti-Lompat Parti pada mesyuarat pertama Dewan Rakyat yang akan bermula 28 Februari ini. Tidakkah ini satu kejayaan yang telah dicapai oleh PH? Tidakkah ini sesuatu yang positif dan baik bagi demokrasi di Malaysia dan dituntut oleh rakyat selama ini?


Adakah MoU capai kejayaan lain?


Kelemahan PH mungkin kerana tidak bijak dari segi perhubungan awam untuk menghebahkan kejayaannya membawa perubahan hasil dari MoU. PH tidak mahu jadi seperti ayam, bertelor sebiji, riuh sekampung.


Kerajaan pula yang ada radio dan televisyen semacam sengaja senyap sepi tidak mahu menceritakan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai sepanjang MoU ditandatangani.


Logiknya mudah difahami, setiap kejayaan perlaksanaan MoU bermakna satu kejayaan di pihak PH yang boleh ditafsirkan sebagai kerajaan lemah dan mengalah terhadap tuntutan PH.


Tetapi dari segi realitinya, antara kejayaan terbesar MoU yang patut diraikan oleh rakyat dan kredit patut diberi kepada Kerajaan Pusat dan PH ialah reformasi yang sedang dibawa di Parlimen. PH selesa dengan istilah reformasi Parlimen tetapi Kerajaan yang mewarisi legasi lama mahu perubahan itu dipanggil transformasi.


Apakah reformasi atau transformasi Parlimen yang telah berlaku hasil dari kejayaan MoU?


Jawapannya pembentukan sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Rakyat. Dari sembilan jawatankuasa tersebut, lima dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan empat dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Pembangkang.


Misalnya pengerusi bagi jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kesihatan, satu jawatankuasa yang penting semasa pandemik Covid-19 dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching daripada DAP.


Manakala Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keselamatan dan Pertahanan yang juga penting, dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani dari KEADILAN.


Pada masa lalu semua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kerajaan sahaja. Tentu perubahan positif ini satu hasil baik dari segi kejayaan MoU.


Bukan itu sahaja. Hasil dari tuntutan PH ialah setiap Jawatankuasa Pilihan Khas itu jumlah keanggotaan adalah sama banyak antara Kerajaan dan Pembangkang, iaitu lima dari Kerajaan dan lima orang dari Pembangkang


Bukan hanya dapat peruntukan


Kesimpulannya, MoU ini bukanlah hanya Ahli-ahli Parlimen PH sekadar mendapat peruntukan dana yang sama seperti Ahli-ahli Parlimen Kerajaan, maka kerana itu Ahli-ahli Parlimen PH dianggap semakin jinak pada persepsi umum.


Pertama perlu disebut, peruntukan yang diterima oleh Ahli Parlimen pembangkang adalah wajar dan betul. Peruntukan dana itu ada dua komponen. Jumlah yang besar dana untuk membantu rakyat di kawasan Parlimen berkenaan. Ini menguntungkan rakyat. Manakala peruntukan bagi kos pengurusan Pusat Khidmat Ahli Parlimen telah dapat membantu Ahli Parlimen yang dipilih rakyat memberi khidmat terbaik kepada rakyat.


Malah PH yang berjiwa besar menuntut agar peruntukan yang sama diberikan juga kepada semua Ahli Parlimen pembangkang, termasuk yang tidak turut menandatangani MoU seperti dari Warisan, Pejuang, Muda, dan Ahli-ahli Parlimen Bebas.


Ada 30 peratus lagi komponen di dalam MoU yang belum berjaya dilaksanakan. Apakah perkara-perkara itu?


Antaranya ialah dalam isu menetapkan tempoh berkuasa seseorang Perdana Menteri supaya tidak melebihi dua penggal atau 10 tahun. Satu lagi ialah dalam soal menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.


Dua perkara ini tentu sahaja akan menyusul kemudian untuk melengkapkan perlaksanaan MoU yang telah berjaya sekurang-kurangnya setakat ini meredakan ketegangan politik yang telah mengwujudkan keresahan dan kebimbangan rakyat serta komuniti peniaga juga pelabur.


Dengan kejayaan MoU setakat ini, membuktikan PH bukanlah satu gabungan politik yang rakus dan kemaruk untuk berkuasa. Sebaliknya PH muncul sebagai satu blok politik pembangkang yang konstruktif dan membina, yang bertanggungjawab serta sederhana dan selayaknya diberi peluang dan mandat oleh rakyat dalam PRU ke-15 yang akan datang.


__________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page