top of page

Adakah 9 MP KEADILAN memperjuangkan idealisme reformasi sebenar?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 8
  • 3 min read

Tindakan sembilan Ahli Parlimen (MP) KEADILAN diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli dalam kenyataan semalam meminta supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk mendengar isu berkenaan kehakiman berisiko melemahkan integriti Kerajaan Madani di mata rakyat.


Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar), tindakan mengeluarkan kenyataan media dan dibaca oleh Rafizi, seolah olah menggambarkan ahli parlimen tersebut sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang banyak kuasa diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam hal perlantikan hakim kini menjadi seorang suspek yang tidak dapat lari jika RCI ditubuhkan. Sebagai suspek utama, Anwar mesti disiasat oleh RCI. Ini adalah implikasi dari tuntutan sembilan Ahli Parlimen KEADILAN sendiri.


"RCI hanya boleh dibentuk dan mendapat mandat melakukan siasatan sekiranya Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kabinetnya bersetuju berbuat demikian dengan terma rujukan seperti yang dituntut oleh sembilan MP KEADILAN tersebut.


"Tanpa persetujuan PM dan Kabinet maka tuntutan sembilan MP itu akan menjadi isu yang akan memburukkan lagi imej PM Anwar dan kerajaan pimpinannya. Sembilan MP KEADILAN tersebut meletakkan Presiden KEADILAN sendiri dalam bahaya," kata Hassan dalam kenyataannya hari ini.


Menurut beliau, isu yang ditimbulkan oleh ahli parlimen berkenaan adalah sah dan mempunyai merit bersabit isu kehakiman.


Hal itu katanya, biarpun akan meningkatkan populariti mereka dalam sistem demokrasi tetapi kesan jangka panjangnya akan menyulitkan kerajaan.


"Dari segi politik dan parti tindakan ini bermakna sedang berlaku "revolt" atau penentangan dalaman secara langsung terhadap Anwar Ibrahim Presiden KEADILAN dan juga Perdana Menteri yang tidak pernah berlaku sebelum ini.


"Adakah sembilan MP KEADILAN telah memikirkan semasak-masaknya kepentingan jangka panjang negara dan rakyat; mempertahankan cita cita dan idealisme reformasi sebenar dan mengutamakan kepentingan perjuangan politik KEADILAN, dan tidak hanya sekadar kepentingan politik peribadi seorang pemimpin bernama Anwar Ibrahim?


"Jika jawapannya 'ya' maka tindakan 9 MP KEADILAN tersebut adalah satu cabaran paling serius, paling sengit dan berani datang dari sembilan ahli parlimen yang kebanyakannya adalah senior ahli parlimen terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan presiden parti," katanya.


Tindakan berkenaan juga, tambah Hassan, boleh dianggap oleh rakyat sebagai segelintir ahli parlimen telah hilang sabar kerana melihat kerajaan pimpinan PM Anwar melakukan banyak kompromi dalam pentadbiran.


"Apabila PM pulang dari lawatan di luar negara kerana menjalankan tanggungjawab untuk Malaysia dan rakyatnya, maka tugas utama Anwar ialah untuk menangani tuntutan 9MP PKR itu dengan bijaksana kerana penentangan backbencher ini dalam isu kehakiman bukannya isu kecil. Ini isu yang amat serius," katanya lagi.


Bagaimanapun dalam kenyataan itu Ahli Parlimen Pasir Gudang menyatakan sokongan padunya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri di atas keyakinannya, bahawa PM telah melakukan perkara yang betul untuk negara.


Sebelum ini, Rafizi dalam sidang medianya semalam telah membawa isu kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara dan mempersoalkan sama ada wujud dakwaan salah laku hakim di belakang isu berkenaan.


Bagaimanapun pagi tadi Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen KEADILAN berhubung kemungkinan berlaku krisis dalam badan kehakiman.


AGC juga menyatakan bahawa perbandingan dibuat ke atas skandal VK Lingam yang didakwa terlibat dalam mengatur kehakiman adalah tidak wajar.


Dalam satu kenyataan, AGC mengakui bahawa dakwaan terhadap seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang didakwa campur tangan dalam keputusan dan pelantikan kehakiman adalah perkara serius.


Namun begitu, AGC menjelaskan bahawa perbincangan dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) – lokasi dakwaan itu dibangkitkan – adalah berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang.


Selain itu, AGC menyatakan bahawa dakwaan tersebut tidak boleh dianggap sebagai salah laku yang telah dibuktikan atau memberi kesan kepada kebebasan badan kehakiman.

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page