
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu pencemar sungai yang mengakibatkan berlakunya gangguan bekalan air di Lembah Kelang dikenakan hukuman lebih berat termasuk penjara.
Menurut Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, hukuman ringan seperti yang terkandung dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang terpakai sekarang agak ringan dan menyebabkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengulangi kesalahan tanpa rasa takut.
"ABIM menegaskan insiden ini bukan kali pertama berlaku ke atas sumber alam yang menjejaskan jutaan penduduk. Malah, keadaan ini telah berlaku berulang kali berlaku termasuk di negeri-negeri lain.
"Justeru satu tindakan bersifat jangka panjang harus dilaksanakan sebagai mengelakkan perkara sama berulang. Antara langlah yang harus dititikberatkan termasuklah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Ini termasuklah mengenakan hukuman penjara mandatori kepada penjenayah alam sekitar yang degil selain denda dengan kadar yang jauh lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Faisal mendesak Kementerian Alam Sekitar dan Air mempercepatkan pindaan akta yang berkaitan sebagaimana dijanjikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada Februari lalu.
Katanya, pindaan tersebut yang sepatutnya berlaku pada tahun ini tidak wajar dilengah-lengahkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional.
"ABIM difahamkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada Februari lalu menyatakan komitmen untuk membentangkan pindaan Akta pada tahun ini. Namun hingga kini belum kelihatan inisiatif untuk meneruskan ketetapan yang dinyatakan.
"ABIM juga menggesa pindaan penting dibuat pada peruntukan berhubung kerahsiaan maklumat supaya rakyat Malaysia diberikan akses maklumat yang lengkap berhubung syarikat dan kilang yang diberikan lesen.
"Paling utama, satu konsultasi harus dibuat dengan penduduk setempat sebelum sebarang lesen kebenaran dikeluarkan.
"ABIM menjangkakan pindaan yang dicadang mungkin akan menjejaskan usaha merancakkan industri dan pelaburan buat negara, namun hak rakyat dan alam sekitar adalah lebih penting untuk dipelihara," katanya lagi.
Selain itu, ABIM juga menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan untuk memperhebat usaha kerjasama dengan antara kedua-dua serta mengambil tanggungjawab khususnya dalam aspek penguatkuasaan bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Gangguan bekalan air bermula Khamis lalu berlaku di beberapa wilayah dalam Selangor, termasuk Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Kuala Langat dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Punca pencemaran dikesan dari sebuah kilang berhampiran Sungai Gong yang pernah dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 pada Mac lalu atas kesalahan mencemarkan punca air.
This iss a great blog