
Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan mengumumkan pengasas Kumpulan RHB Tan Sri Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai anggota Lembaga Pengarah dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar yang menamatkan perkhidmatannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na'im Mokhtar berkata pengalaman luas Abdul Rashid sebagai seorang tokoh korporat amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan TH sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia.
"Pada masa sama, saya juga ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Azman Mokhtar atas segala jasa bakti dan perkhidmatan terbaik khasnya dalam memimpin Lembaga Pengarah TH dan secara amnya semua warga TH," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rashid, 77, merupakan seorang ahli perniagaan berjaya yang telah mengasaskan Kumpulan RHB antara kumpulan perbankan terbesar di Malaysia.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari tahun 1994 hingga 1998.
Selain itu, ahli perbankan itu pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari tahun 1995 hingga tahun 2000 dan Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Atas sumbangan kepada negara dan masyarakat, beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M.
Abdul Rashid merupakan antara enam ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja Bagi Menyiasat Isu Pengurusan Dan Operasi Lembaga Tabung Haji Dari Tahun 2014 Hingga 2020 telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan.
Comments