top of page

8 juta nombor kitar semula dikuaratin elak pengguna baharu diganggu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 24, 2023
  • 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid


Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memaklumkan sekitar 8.15 juta nombor telefon mudah alih, dikitar semula selama enam bulan sebelum dimanfaatkan kepada 49.4 juta pengguna aktif.


Menterinya Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara lain bagi mengurangkan risiko panggilan kepada pengguna nombor lama, nombor-nombor yang telah tidak aktif akan memasuki tempoh kuarantin atau cooling off period sebelum ia digunakan semula.


Jelasnya, amalan mengguna semula nombor telefon lama dan tempoh kuarantin ini juga digunakan di negara lain seperti di Amerika Syarikat (45 hari), Australia (enam bulan) dan Singapura (90 hari).


"Walaupun langkah mengurangkan masalah dan risiko telah dilakukan, MCMC tidak dapat menegah bank atau sebarang perkhidmatan daripada menyimpan data peribadi pelanggannya untuk tempoh yang lama.


"Oleh itu, dalam menangani perkara ini, pengguna baharu juga harus cakna untuk menyekat nombor telefon dengan menggunakan fungsi sedia ada yang terdapat dalam telefon mudah alih," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Rodziah Ismail (PH - Ampang) mengenai langkah kerajaan menanggani isu nombor kitar semula.


Dalam pada itu, pihak KKD mengesahkan hanya 80 aduan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan isu penggunaan nombor telefon kitar semula sejak 2021.


Justeru, Fahmi berkata, kes itu bersamaan dengan 0.0016 peratus daripada keseluruhan pengguna perkhidmatan mudah alih di negara ini yang mencecah 49.4 juta pengguna setakat suku kedua tahun ini.


"Penggunaan nombor kitar semula ini merupakan satu dasar sedia ada di bawah Rancangan Pengurusan Penomboran dan Pengalamatan Elektronik (NEAP) 2023 bagi memastikan setiap nombor diuntukkan diguna pakai dengan berhemat, cermat dan mengelakkan pembaziran.


"Walaupun jumlah aduan ini kecil namun kementerian melalui MCMC dari semasa ke semasa menambah baik prosedur sedia ada bagi memastikan keselesaan pengguna perkhidmatan," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page