60 bakat muda Selangor ikuti latihan seni bina cip di Madras
- Suara Keadilan

- Feb 13
- 1 min read

Kerajaan Selangor bakal menghantar 60 pelajar ke Indian Institute of Technology Madras (IIT Madras), India untuk mengikuti latihan intensif dalam teknologi RISC-V, iaitu seni bina cip terbuka.
Exco Pelaburan, Ng Sze Han (gambar) berkata, industri semikonduktor global kini berdepan kekurangan bakat teknikal berkemahiran tinggi dan Selangor memberi tumpuan kepada segmen front-end, khususnya reka bentuk cip dan litar bersepadu (IC) yang memerlukan kepakaran khusus.
Tambahnya, program latihan ini merupakan pelaburan strategik bagi melahirkan bakat semikonduktor berteknologi tinggi, sekali gus mengatasi kekurangan jurutera dalam industri tersebut.
"Pelajar terbabit akan mengikuti latihan selama sebulan bermula Jun depan di IIT Madras
"Program ini penting untuk memastikan rantaian nilai industri semikonduktor negara terus kukuh. Selepas tamat latihan, kebolehpasaran peserta hampir 100 peratus," katanya dipetik.
Sze Han sementara itu memaklumkan, setelah tamat latihan, pelajar terbabit akan menjalani latihan industri tiga bulan bersama syarikat tempatan dan akan menerima elaun RM10,000 yang dibayar secara berperingkat sepanjang program.
Dalam perkembangan berkaitan beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri terus melatih bakat berkemahiran tinggi menerusi Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia (ASEM)
Tahun lalu, ASEM melahirkan 600 graduan dengan purata gaji permulaan RM5,000.
"Sasaran Kerajaan Negeri adalah melatih 600 jurutera setahun dan 3,000 dalam tempoh lima tahun bagi memenuhi keperluan industri.
"Malaysia tidak kekurangan peluang atau syarikat teknologi tinggi, tetapi kekurangan bakat teknikal berpengalaman. Malah, ada syarikat asing menawarkan gaji permulaan RM8,000 ke atas kepada graduan tempatan," tambahnya.




Comments