6 tuntutan PH kepada SPR susulan insiden pengundian awal DUN Lendu




Pakatan Harapan (PH) hari ini mengemukakan 6 tuntutan berikutan insiden Ketua Tempat Mengundi (KTM) menghalang agen calon yang bertanding bertugas di pusat pengundian awal di Balai Polis Masjid Tanah, kelmarin.


Menurut Ketua Unit Perundangan Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) KEADILAN, Manivanan Gowin, insiden tersebut amat tidak wajar dilakukan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika suruhanjaya itu telah banyak kali mengendalikan pilihan raya di negara ini.


"Saya rasa amat terkejut dengan tindakan KTM yang mewakili SPR ketika pengundian awal di DUN Lendu dalam Pilihanraya Negeri Melaka (PRN Melaka) ke 15.


"Saya difahamkan KTM tidak membenarkan Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi (PACA) untuk memasuki kawasan mengundi dan memulakan tugas mereka ketika pengundian awal di Balai Polis Masjid Tanah, atas alasan borang petugas terbabit tidak ditandatangani oleh calon sendiri tetapi Ejen Pilihanraya.


"Mengikut peruntukan Akta 5, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, borang PACA boleh ditandatangani oleh calon atau Ejen Pilihanraya yang juga dikenali sebagai wakil calon," katanya dalam sidang media, sebentar tadi.


Mannivanan turut membacakan Seksyen 12 (1) yang mengatakan: "Pada atau sebelum hari penamaan dalam sesuatu pilihan raya, seseorang hendaklah dinamakan secara bertulis oleh atau bagi pihak setiap calon sebagai ejennya untuk pilihan raya itu."


Juga Seksyen 14 (1) yang menekankan: "Ejen pilihan raya seseorang calon hendaklah dalam sesuatu pilihan raya — (a) melantik tiap-tiap ejen tempat mengundi, ejen mengira, kerani dan pengutus yang diambil kerja, sama ada dengan bayaran atau tidak, bagi pihak calon itu."


"Ini bermaksud, KTM tidak sepatutnya menghalang PACA yang mewakili calon Pakatan Harapan bagi DUN 04 Lendu, Muhammad Asri Ibrahim.


"Tindakan luar biasa KTM menghalang petugas PACA yang sah telah mengakibatkan penindasan hak seorang calon yang termaktub di bawah peruntukan perundangan sedia ada.


"Tambahan kepada itu, saya juga telah dimaklumkan oleh Ejen Pilihanraya bagi DUN 04 Lendu iaitu Rosdi Ali bahawa satu mesyuarat khas Pegawai Pengurus (RO) bersama Ejen Pilihanraya bagi DUN 04 Lendu telah dilaksanakan pada 17 November 2021. Dalam mesyuarat khas ini, RO telah memohon maaf di atas kekhilafan insiden yang telah berlaku semasa pengundian awal.


"Selaras dengan perkembangan ini, kami mewakili PH ingin mengemukakan 6 tuntutan kepada Pengarah SPR agar memastikan perjalanan PRN Melaka pada 20 November ini mengikut lunas peruntukan perundangan pilihan raya Malaysia, demi memastikan agar pilihan raya ini berjalan dengan lancar dan sempurna, di samping mendukung dan menghayati konsep demokrasi," katanya.


Enam tuntutan tersebut ialah:


Pertama: Kami memohon agar Pengarah SPR mengarahkan agar KTM yang melakukan kekhilafan nyata tersebut, untuk tidak bertugas pada 20 November dan digantikan dengan seorang KTM yang mempunyai pengetahuan mengenai perjalanan pilihan raya.


Kedua: Kami memohon agar pegawai - pegawai SPR iaitu Pengurus Pilihan Raya (RO), Penolong Pengurus Pilihan Raya (ARO) dan khususnya Ketua - Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka mengikut lunas undang - undang yang termaktub di bawah Akta - Akta Pilihan Raya dan Peraturan Pilihanraya.


Ketiga: Kami memohon agar Pengarah SPR memberi amaran keras kepada Ketua - Ketua Tempat Mengundi (KTM) agar tidak mencipta atau mereka atau membentuk peruntukan undang - undang sendiri yang melampaui kuasa Parlimen sebagai badan perundangan yang tertinggi yang bertanggungjawab untuk menggubal dan meluluskan undang - undang di Malaysia.


Keempat: Kami menggesa agar Pengarah SPR memberi taklimat akhir sebelum hari mengundi biasa tentang pematuhan dan kefahaman undang - undang dan peraturan pilihan raya kepada semua RO, ARO dan KTM yang bertugas pada 20 November 2021.


Kelima: Kami memohon agar Pengarah SPR memaklumkan kepada semua RO, ARO dan KTM agar menghormati hak semua calon dan parti politik yang bertanding dalam PRN Melaka di semua 28 DUN yang ditandingi, selagi semua pihak mematuhi undang - undang dan peraturan pilihan raya.


Keenam: Kami memohon agar Pengarah SPR dan / atau RO yang bertugas di Balai Polis Masjid Tanah untuk memohon maaf secara terbuka (kerana mohon maaf secara tertutup tidak memadai) kepada Calon dan Ejen Pilihanraya Pakatan Harapan dan seluruh

warga pengundi DUN 04 Lendu.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER