Oleh: Abdullah Zaid
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama penyedia platform media sosial menurunkan 6,168 kandungan palsu sejak 2023.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, tindakan tersebut dibuat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.
Justeru, katanya, sejak penubuhan pasukan tugas khas bagi menangani berita palsu dan 3R (agama, kaum, diraja) pada 1 Disember 2022, sebanyak 861 kandungan bersifat palsu dan disinformasi dikenal pasti oleh pihak berkuasa.
"Daripada jumlah tersebut sebanyak 91 kertas siasatan telah dibuka iaitu 60 daripadanya telah selesai manakala 31 masih dalam siasatan," katanya menerusi pertanyaan lisan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia anak Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai usaha kementerian memerangi penyebaran maklumat palsu dan disinformasi dalam media sosial.
Susulan itu, pihak kementerian pada ketika ini merangka strategi melalui Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta SKMM bagi menangkis berita palsu.
"Antara usaha advokasi adalah membangunkan protal untuk semakan fakta iaitu portal ‘Sebenarnya.my’ oleh SKMM dan portal ‘MyCheck Malaysia’ oleh Bernama.
"Selain itu penerbitan RTM melalui bual bicara ‘Pastikan Sahih’ dan segmen ‘Biar Betul’ turut menjadi tumpuan masyarakat bagi memperbetul maklumat berita palsu yang tular l di media sosial," ujarnya.
Jelasnya, RTM juga secara berterusan menyedia kapsul video pendek berbentuk pesanan khidmat awam dan promo bagi mendidikan masyarakat mengenai bahaya berita palsu.
"Hebahan infografik dan video grafik secara berterusan juga dilaksanakan semua platform media sosial rasmi bagi mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab dalam memastikan kesahihan maklumat diterima," katanya.
Comments