5 kali kerajaan isytihar darurat, Parlimen tidak pernah digantung - Tan Sri Ariff


Bekas speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof meluahkan rasa hairan terhadap tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggantung sidang Parlimen selepas mengisytiharkan proklamasi darurat.


Beliau berkata, kerajaan sudah mengisytiharkan lima kali darurat namun sidang Parlimen tidak pernah sekali pun digantung.


"Pengisytiharan darurat pada 1966, 1969 dan 1977 tidak pernah menyebabkan Parlimen digantung, malah Parlimen bersidang untuk meluluskan beberapa undang-undang ketika itu.


"Malah, jika kita ingat balik apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Gerik tidak diadakan selepas kerajaan mengisytiharkan darurat di dua kawasan itu, ironinya Parlimen tetap bersidang ketika itu," katanya ketika webinar bersama Institut Reformasi Politik dan Demokrasi, malam tadi.


Tahun 1966 merujuk kepada darurat di Sarawak, 1969 merupakan darurat 13 Mei manakala 1977 adalah darurat di Kelantan.


Pada masa sama, Arif juga menganggap Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan menunjukkan Parlimen boleh bersidang.


"Perkara 150 (2B) menyebut: Jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.


"Ia menunjukkan bahawa darurat tidak sepatutnya membawa kesan sehingga kerajaan demokratik boleh bertukar kepada kerajaan autokratik.


"Kalau ikut Perkara 150 ini juga, Parlimen ketika tempoh darurat tidak boleh dianggap sebagai digantung," katanya.


Justeru, Ariff menggesa kerajaan supaya mengadakan sidang Parlimen dengan segera kerana segala tindakan kerajaan tidak dapat dipersoalkan sepanjang tempoh darurat.


"Untuk ada seorang Ketua Pembangkang bercakap di luar Parlimen tidak sama dengan berbahas di Parlimen.


"Tidak ada sebab untuk tidak membenarkan Parlimen bersidang sedangkan Ahli Parlimen masih dibenarkan berkhidmat seperti biasa.


"Hanya di Parlimen kita boleh bertanya soalan terhadap tindakan kerajaan. Demi nama baik dan imej negara, kuasa eksekutif mesti memanggil Parlimen bersidang.


"Kalau kita percaya dengan demokrasi berparlimen dan pemisahan kuasa, nasihatlah kepada Agong, mintalah Parlimen bersidang," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
5304
64
8163
Total
657,508
3908
580,276

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
347,342
9,422
391,535
Total
176,420,883
3,811,183
158,674,643

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER