top of page

40% hasil Sabah bukan isu politik tetapi keadilan Perlembagaan — Yuneswaran

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 12
  • 1 min read

ree

Isu 40 peratus hasil negeri Sabah tidak wajar dijadikan bahan politik, sebaliknya perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dalam menegakkan keadilan fiskal dan menghormati semangat Perlembagaan Malaysia, kata Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau menegaskan bahawa semua pihak — termasuk Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta wakil rakyat — perlu mendekati isu tersebut dengan semangat rundingan dan bukan retorik politik.


"Isu 40 peratus hasil Sabah bukan soal politik parti, tetapi soal keadilan fiskal dan penghormatan terhadap Perlembagaan. Semua pihak sama ada kerajaan negeri, persekutuan atau wakil rakyat perlu mendekati perkara ini dengan semangat rundingan, bukan retorik," katanya.


Menurut beliau lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan komitmen yang jelas dalam memastikan isu ini diselesaikan secara adil dan berprinsip.


"Saya difahamkan dan secara peribadi telah mendengar taklimat daripada Perdana Menteri dalam mesyuarat parti baru-baru ini. Beliau amat serius dan konsisten dalam memastikan penyelesaian ini dilaksanakan secara adil serta berlandaskan semangat Perlembagaan Malaysia," katanya.


Yuneswaran turut menjelaskan bahawa Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak negeri Sabah melalui Pemberian Khas 40 peratus hasil, dan kini selepas MA63 serta Artikel 9 dimuktamadkan, tumpuan perlu diberikan kepada pelaksanaan secara konsensus antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.


"Untuk mencapai keputusan besar seperti ini, yang diperlukan ialah political will (keazaman politik), bukan mempolitikkan keazaman itu sendiri.


"Jika isu ini dipolitikkan, ia hanya akan melambatkan atau menggagalkan matlamat sebenar iaitu memastikan hak Sabah ditegakkan dalam kerangka Malaysia yang adil dan bersatu,” tegasnya.


Sehubungan itu, Yuneswaran menyeru agar semua pihak mengambil pendekatan berhemah dan berpandangan jauh supaya rundingan yang akan dimulakan dapat menghasilkan penyelesaian konkrit yang menguntungkan rakyat Sabah serta memperkukuh hubungan Persekutuan–Negeri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page