top of page

40% cukai Sabah: Tiada rayuan, Kerajaan Persekutuan mulakan rundingan segera

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 11, 2025
  • 1 min read

Kerajaan Persekutuan hari ini menegaskan pendirian untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil yang dikutip di negeri itu, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri yang diadakan petang tadi bagi membincangkan keputusan mahkamah dalam permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) terhadap Kerajaan Malaysia.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati sepenuhnya prinsip pemberian khas tersebut, sejajar dengan komitmen kerajaan terhadap semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


"Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil. Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera," menurut kenyataan itu.


Bagaimanapun, mesyuarat turut dimaklumkan bahawa Peguam Negara telah menasihatkan Jemaah Menteri berhubung beberapa kecacatan dalam alasan penghakiman yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi.


Antara isu yang dikenal pasti termasuk dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan Perlembagaan, yang menurut Peguam Negara boleh memberi kesan undang-undang terhadap pentadbiran kedua-dua kerajaan sejak tahun 1974.


Selain itu, alasan penghakiman juga menyatakan bahawa kajian semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional dan tidak berkadaran, selain didakwa mempunyai ketidakaturan dari segi prosedur.


"Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut," jelas kenyataan itu lagi.


Keputusan Jemaah Menteri ini menandakan langkah penting ke arah pelaksanaan hak hak Sabah di bawah Perlembagaan, di samping memastikan rundingan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat dijalankan secara profesional, berasaskan semangat kerjasama dan keadilan fiskal.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page